Berita UtamaIstimewa

UEC: Peruntukan kerajaan mahu, tapi dasar pendidikan ambil dari negara luar?

Bimbang jika diiktiraf, universiti awam akan buka peluang terima UEC

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 8 Safar 1443H, Rabu – Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) lebih memilih supaya sekolah kebangsaan diperkasakan dengan memasukkan Bahasa Mandarin, Tamil dan lain-lain yang ada di Malaysia sebagai bahasa pilihan.

“Tak perlu sekolah vernakular yang mengangkat Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) sebagai dasar pendidikan.

“Peruntukan kerajaan, mahu. Kemudahan kerajaan, mahu. Tapi, dasar pendidikan, ambil dari negara luar. 

“Adakah ini bagus untuk kerajaan dan perpaduan negara?,” sindir Naib Pengerusinya, Mohd Nor Izzat Johari.

Beliau berkata demikian membidas semula kenyataan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) yang mendakwa pandangan PEMBELA terhadap UEC sebagai ekstrem dan berfikiran sempit.

Terdahulu, portal berita news.seehua.com melaporkan bahawa Pengerusi Biro Pendidikan SUPP, Datuk Ding Kuong Hiing mengecam PEMBELA menggunakan sentimen perkauman dalam isu UEC sehingga mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak mengiktirafnya.

Kuong Hiing berkata, 600 buah universiti dan kolej di seluruh dunia sudah mengiktiraf UEC, tetapi dakwanya, PEMBELA masih melihat dunia dengan pandangan yang sempit.

Menyelar kenyataan itu, Mohd Nor Izzat berkata, tiada sebab untuk Malaysia mengiktiraf sukatan pendidikan dari Taiwan – sedangkan negara ini mempunyai sistem pendidikannya sendiri yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.

“UEC berlandaskan kurikulum Taiwan. Kenapa kita nak iktiraf dasar pendidikan luar negara yang mana secara jelas bertentangan dengan Dasar Pendidikan Negara?,” soalnya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Beliau berkata, menuntut pengiktirafan UEC untuk diterima di pusat-pusat pengajian sudah menjadi satu hal, tetapi apa yang lebih dibimbangkan adalah ia kemudiannya akan diiktiraf untuk mencari pekerjaan.

Keadaan itu sekali gus boleh menyebabkan ia menjadi syarat kelulusan untuk ke universiti awam selain boleh menjawat jawatan kerajaan dalam Malaysia.

“Itu yang tidak boleh diterima pakai,” katanya.

UEC adalah silibus sekolah persendirian Cina yang mana sukatan pelajarannya diambil dari Taiwan.

Pengiktirafan UEC bercanggah dengan Dasar Pendidikan dan Akta Pendidikan 1996.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button