Berita Utama

1,520 penumpang berlepas menerusi 8 penerbangan ke Langkawi

Susulan bermulanya projek rintis gelembung pelancongan domestik

PUTRAJAYA, 9 Safar 1443H, Khamis – Seramai 1,520 penumpang berlepas menerusi lapan penerbangan ke Langkawi sempena bermulanya projek rintis gelembung pelancongan domestik Langkawi hari ini.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata kesemua penerbangan itu melibatkan empat penerbangan Malaysia Airlines (MAS), satu penerbangan Malindo Air dan tiga AirAsia.

“Saya mendapati ada penumpang telah membawa kit ujian kendiri untuk air liur dan ada pula yang membeli daripada kaunter jualan di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Kuala Lumpur 2 (klia2),” katanya dalam hantaran menerusi laman Facebook rasmi beliau hari ini.

Wee yang meninjau proses ujian Kit Ujian Pantas (RTK) Antigen pengesanan COVID-19 terhadap penumpang ke Langkawi di KLIA dan klia2 berkata setakat tinjauannya tadi, terdapat seorang penumpang disahkan positif COVID-19 selepas ujian pengesanan dijalankan dan telah menjalani proses susulan diperlukan.

“Beliau (penumpang) juga akur apabila tidak dibenarkan menaiki penerbangan demi keselamatan penumpang lain. Ahli keluarga penumpang yang disahkan positif melalui RTK Antigen juga tidak menaiki pesawat kerana mempunyai kontak rapat,” katanya.

Wee yang diiringi Pengurus Besar Operasi Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) Shahrunnizam Abd Jamil berkata beliau berpuas hati melihat proses ujian RTK Antigen itu yang berjalan lancar sambil dibantu para pegawai daripada Kementerian Kesihatan (KKM).

Beliau berkata ujian pengesanan COVID-19 itu dilaksanakan semata-mata mahu menjamin keselamatan semua pihak dan dalam masa sama memastikan projek rintis gelembung pelancongan domestik Langkawi berjalan baik.

Selain itu, Wee berkata ketika berinteraksi dengan para penumpang termasuk pelancong asing dari Perancis dan Korea Selatan, didapati mereka gembira apabila sektor pelancongan domestik mula dibuka menerusi projek rintis berkenaan.

Beliau berkata mereka juga menyambut baik usaha kerajaan menambahbaik prosedur operasi standard (SOP) termasuk mengenakan syarat ujian pengesanan COVID-19 sebelum memulakan perjalanan demi kebaikan semua pihak.

Wee berkata suasana di lapangan terbang yang sudah lama sunyi kini kembali ceria dengan para kakitangan penerbangan mula mengukir senyuman apabila dibenarkan kembali berkhidmat.

Beliau turut mengingatkan semua pihak supaya sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan supaya usaha kerajaan untuk memulihkan negara khususnya sektor ekonomi dan pelancongan dapat berjalan dengan baik. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button