Berita Utama

Draf SOP solat berjemaah sudah dimuktamad: Idris Ahmad

Telah diputuskan dalam mesyuarat jawatankuasa muzakarah semalam

MELAKA, 9 Safar 1443H, Khamis – Pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) mengenai solat berjemaah di masjid dan surau bagi negara ini telah diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) semalam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Idris Ahmad berkata muzakarah yang disertai mufti-mufti seluruh negeri itu juga telah membuat draf panduan SOP untuk diserahkan kepada setiap negeri melalui jabatan agama masing-masing.

“Kita di pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) hanya menjadi penyelaras dan memberikan pandangan mengenai hal ini dan segala ketetapan yang dilaksanakan tertakluk kepada bidang kuasa pentadbiran agama negeri.

Ini termasuk perkara berkaitan solat berjemaah fardu dan Jumaat seperti kuota yang dibenarkan dan ia terpulang kepada mereka untuk melaksanakan SOP berkenaan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu beliau menyempurnakan program Penyerahan Foodbank Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) dan Kotak Makanan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) di Masjid Al-Wahhab Permatang Duyong yang turut dihadiri Mufti Melaka Datuk Abdul Halim Tawil di sini.

Mengulas lanjut Idris berkata pihaknya juga tidak boleh mencampuri urusan pentadbiran agama negeri selain perlu menghormatinya kerana ia adalah bidang kuasa mereka dalam menentukan segala keputusan berkaitan SOP di masjid dan surau.

“Kadang-kadang netizen meluahkan rasa tidak puas hati kerana masjid tidak boleh dihadiri ramai, tetapi ia bukan tugas di bawah JAKIM sebaliknya masjid perlu melalui bidang kuasa kerajaan negeri.

Ini juga berbeza dengan tempat-tempat lain seperti kilang atau pusat beli-belah kerana mereka hanya perlu mendapatkan kelulusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sahaja,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button