Berita Utama

Hudud: Tiba masa pemimpin bersatu hati martabat perundangan Islam

Kepentingan agama perlu didahulukan dalam apa juga keadaan: Mufti Pahang

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 9 Safar 1443H, Khamis – Sudah tiba masanya pemimpin-pemimpin Islam bersatu hati, bekerja keras selain bertanggungjawab memperjuangkan undang-undang Islam selari dengan kedudukan Malaysia sebagai negara Islam.

Mufti Pahang, Datuk Seri Abdul Rahman Osman berkata, kini negara kekurangan sokongan padu di Parlimen daripada pemimpin Islam sendiri menyebabkan pelaksanaan undang-undang itu tertangguh.

“Sebab itu pemilihan seorang pemimpin perlu dititikberatkan, kita perlu faham dengan perjuangan Islam yang akan diperjuangkan pemimpin berkenaan.

“Adalah wajib bagi umat Islam kembali semula memimpin umatnya bersama ajaran Islam yang sempurna dan pemilihan pemimpin merupakan suatu amanah yang paling besar dengan ciri-ciri kepimpinan yang sempurna.

“Jangan kerana kepentingan peribadi dan politik semata-mata kita abaikan perjuangan sebenar, walaupun kita tahu apa yang diperjuangkan itu tidak berada dalam landasan sebenar,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kesediaan kerajaan Terengganu untuk menguatkuasakan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Hudud dan Qisas) Terengganu 2002.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat berkata, negeri itu bakal muncul negeri pertama di Malaysia melaksanakan hukuman hudud dan qisas mengikut peruntukan diizinkan.

Mengulas lanjut, Abdul Rahman berkata, kepentingan agama perlu didahulukan dalam apa juga keadaan selagi tidak bercanggah dan perlu ditegakkan sewajarnya dengan perjuangan negara Islam.

Justeru, katanya, orang muda perlu didedahkan dengan perjuangan sebenar berlandaskan cara Islam supaya wujud rasa tanggungjawab untuk meneruskannya.

“Jangan rasa golongan muda tidak penting sebaliknya perlu berikan pendedahan sejak awal dengan isu-isu penting terutama melibatkan soal agama seperti ini supaya wujud rasa tanggungjawab dalam diri untuk terus berjuang.

“Kita tidak mahu orang muda terus dibuai dengan perkara-perkara tidak penting sedangkan undang-undang ini wajib untuk kita taati selari dengan kedudukan Malaysia negara Islam,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menyeru supaya pemimipin-pemimpin Islam lain untuk bersama-sama sokong dengan pelaksanaan undang-undang walaupun berlainan ideologi yang diperjuangkan demi memartabatkan semula Islam.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button