Berita Utama

ISMA impikan Malaysia yang berdaulat, jadi rujukan negara sekeliling

Pertahan Perlembagaan, Wasiat Raja-raja Melayu dalam pastikan identiti negara terpelihara

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 9 Safar 1443H, Khamis – Tahun ini rakyat Malaysia menyambut Hari Kebangsaan dengan perasaan bercampur baur. 

Tidak dinafikan rasa kegembiraan hadir kerana Malaysia sudah menjadi negara yang merdeka selama 64 tahun.

Tetapi, pada masa sama rakyat diuji oleh Allah SWT dengan pandemik yang masih belum selesai, ketidakstabilan politik menyaksikan negara bertukar-tukar Perdana Menteri dan Kabinet dalam tempoh terlalu dekat, selain ketidakstabilan ekonomi begitu juga isu-isu lain. 

Walaupun demikian, Presiden gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni berkata, apa pun jua yang berlaku kepada negara, daripada satu sudut Malaysia telah menjadi sebuah negara yang bebas daripada campur tangan kuasa dan tentera asing. 

Justeru, katanya, sebenarnya sekarang tugas bergantung kepada rakyat sendiri untuk mencorakkan negara sebagaimana bentuk yang dimahukan. 

Bagaimanapun, sukar untuk usaha ini dilakukan apabila ada pihak yang menjadi musuh dalam selimut menentang identiti negara ini.

“Saya ingin meningatkan diri saya dan tuan-tuan sekalian bahawa negara kita masih lagi berhadapan dengan cabaran demi cabaran. Kita masih lagi berhadapan dengan cabaran daripada pihak yang berusaha mengubah identiti negara, bermula daripada zaman penjajahan sehingga hari ini. 

“Kita masih lagi berhadapan dengan kumpulan yang mencuba untuk mengubah kita punya asas Perlembagaan dan teras-teras Perlembagaan. Kita masih lagi diuji dengan kumpulan manusia yang sentiasa cuba untuk mengubah budaya hidup kita dan sentiasa mempertikaikan itu dan ini. 

“Pada masa sama, kita juga diuji dengan golongan yang terus menerus ingin mencabar bidang kuasa pihak berautoriti yang suka mempertikaikan pelbagai perkara dan mengajak rakyat melakukan demonstrasi semata-mata menimbulkan keadaan yang huru-hara dan kacau bilau,” katanya ketika memberi amanat sempena Hari Malaysia, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, cabaran yang lebih besar daripada itu adalah dengan segala kelemahan yang berlaku di dalam negara ketika ini, lebih membimbangkan apabila ia membuatkan negara semakin terdedah dengan campur tangan asing. 

“Campur tangan asing ini sebagaimana di era penjajahan dahulu, sebenarnya berpotensi juga berlaku selepas kita mengisytiharkan diri kita sebagai sebuah negara yang sudah merdeka. 

“Kita melihat bagaimana doktrin-doktrin luar masih lagi masuk dalam masyarakat kita. Kita masih melihat dengan begitu kuat budaya luar dibawa masuk ke dalam kehidupan masyarakat kita,” katanya.

Bukan itu sahaja, dakwanya, rakyat menyaksikan dana-dana asing dengan kuat disalurkan ke badan-badan tertentu di negara ini daripada sebelum kemerdekaan yang rupa-rupanya berterusan sehingga hari ini. 

“Mungkin kerana negara ini kaya dengan sumber hasil buminya, mungkin juga negara ini berada di kedudukan strategik geografinya, mungkin kerana negara kita mempunyai rakyat yang begitu kuat daripada segi keperibadian dan jati dirinya.

“… dan kerana itu kita lihat pihak luar sama ada barat atau timur berlumba-lumba dan bersaing untuk mendapatkan pengaruh mereka di sini dan juga mengukuhkan kuasa mereka dan cengkaman mereka ke atas segala sumber hasil bumi kita ini,” katanya.

Bagi mengelakkan perkara hitam itu berlaku, maka pada hari ini, tegas Ustaz Fauzi, seluruh rakyat Malaysia sepatutnya bersatu dan terus berazam untuk memberikan yang terbaik kepada negara. 

“Kita perlu untuk sentiasa mengingati dan mengenang jasa pejuang kemerdekaan terdahulu, yang berjuang beratus-ratus tahun. Bermula daripada penjajahan Portugis, Belanda, Inggeris, Jepun dan kemudian Inggeris kembali. 

“Ribuan telah pun syahid bagi memperjuangkan negara bertuah ini. Jadi ia adalah satu situasi yang amat malang jika generasi hari ini tidak mengenang segala perjuangan mereka dan berterima kasih,” katanya.

Beliau menegaskan, di sini rakyat Malaysia perlu mengambil tanggungjawab sebagai generasi baharu untuk meneruskan perjuangan mereka. 

“Kita perlu mempertahankan Perlembagaan yang telah mereka usahakan, dan Wasiat Raja-raja Melayu yang telah ditinggalkan kepada kita. Dari situ kita kena mempertahankan Islam, Melayu, institusi beraja. Supaya ketiga-tiga tonggak identiti negara ini akan terus terpelihara. 

“Kita juga perlu mengeluarkan diri daripada cengkaman kepada negara luar. Kita mahu menjadi sebuah negara yang merdeka dengan erti yang sebenar, punyai kehendak, kemampuan untuk melakar masa depan sendiri. 

“Marilah kita seluruh rakyat Malaysia bersatu padu dalam merealisasikan apa yang kita impikan sehingga Malaysia mampu menjadi sebuah negara yang berdaulat, bermaruah dan menjadi rujukan kepada negara sekelilingnya dan memberi kemakmuran kepada rantau ini dan seterusnya kepada seluruh dunia,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button