Berita Utama

Keunikan Malaysia jadi perhatian luar, tapi diperkotak-katik rakyat sendiri

Tiada eloknya berkiblatkan negara luar, sedangkan panduan ada pada diri sendiri

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 9 Safar 1443H, Khamis – Selama 446 tahun negara ini pernah ditadbir kuasa asing iaitu Portugis, Belanda, British dan Jepun yang natijahnya memberi kesan sukar dihapuskan. 

Namun, ia bukanlah alasan bagi tidak meloloskan diri daripada minda orang asing dan menyemai benih tempatan, kata Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar.

Beliau berkata, pembentukan Malaysia pada 16 September 1963 dengan penyertaan Sabah dan Sarawak melahirkan lebih ramai anak watan daripada pelbagai ras serta bangsa yang bercita-cita mahu mensejahterakan Malaysia sebagai sebuah negara terbilang. 

“Peranan Sabah dan Sarawak di dalam pembentukan Malaysia dan keharmoniannya tidak harus dikesampingkan. Leluhur kita sudah membina negara dengan semangat toleransi yang tinggi dan inilah yang perlu dipertahankan. 

“Jasa dan pengorbanan leluhur kita sama ada di dalam perjuangan mendapatkan pemerintahan sendiri ataupun di dalam membina kesejahteraan negara tidak harus dilupakan. 

“Ramai yang telah menggadai nyawa, cedera, memerah keringat dan fikir bagi memastikan malaysia berjaya,” katanya ketika memberi amanat sempena Hari Malaysia, hari ini.

Zainul Rijal menegaskan, tindakan perlu diambil kepada sesiapa sahaja yang cuba menggugat semangat ini atau pun membelakangkan falsafah pembinaan negara serta sejarah. 

Katanya, Malaysia begitu unik, tidak sama dengan mana-mana negara di dunia ini. 

Pun begitu, amat dikesalkan apabila hari ini keunikan itu diperkotak-katikkan banyak pihak kerana mereka tidak memahami sejarah negara. 

Malah, katanya, ada yang mahu menulis kembali sejarah dengan mengambil kira perspektif mereka sendiri yang tersasar daripada fakta sebenar. 

“Ini adalah satu tindakan yang sangat bahaya. Kerana menggarap fakta yang tidak benar. 

“Sempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia ini marilah kita bersama-sama membulatkan tekad, merenung kembali sejarah negara. 

“Kita perlu menoleh belakang melihat sejarah silam, bagi melihat ke hadapan membina kecemerlangan,” katanya. 

Bagaimanapun, untuk membina kecemerlangan, tegasnya, harus dipastikan jati diri rakyat kental dan tidak berkiblatkan pengaruh asing.

“Tiada gunanya cemerlang jika jati diri anak bangsa rakyat sudah tiada. Tiada manfaatnya kita mengimport nilai-nilai luar yang dikatakan baik itu, sedangkan kita meminggir nilai tempatan yang sudah sebati dengan jiwa dan raga kita. 

“Tiada eloknya juga kita berkiblatkan negara luar sedangkan panduannya ada pada diri kita sendiri. Malah tiada kebaikan jika kita mahu membina kekuatan bersumberkan telahan luar dalam masa sama menghancurkan swadaya tempatan. 

“Kita mesti membina negara kita atas aspirasi kita sendiri. Bukan melalui acuan luar yang tidak serasi dengan selera kita,” katanya. 

Mengulas lanjut, Zainul Rijal berkata, sesungguhnya mengisi erti kemerdekaan lebih sukar daripada mendapatkannya. 

“Tanggungjawab dan peranan kita sebagai warganegara adalah untuk membawa negara ke mercu kecemerlangan di samping tidak meminggir sejarah yang sudah sebati. Setiap diri kita berperanan masing-masing. 

“Sifat saling hormat-menghormati sesama kita yang makin pudar perlu disinarkan kembali. Jadikanlah Malaysia rujukan bagi orang luar untuk belajar dari kita. 

“Keunikan Malaysia sebenarnya sentiasa menjadi perhatian seluruh dunia, kitalah yang mampu melaksanakannya. Selamat Hari Kebangsaan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button