Berita Utama

Jika mahu tukar kerajaan buat pada PRU16, bukan sekarang

Zahid anggap ramal kerajaan tumbang doa yang ‘buruk’

KUALA LUMPUR, 9 Syaaban 1444H, Khamis – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menganggap kenyataan Tan Sri Abdul Hadi Awang bahawa kerajaan akan tumbang adalah ‘doa yang buruk’ daripada seorang ulama.

“Itu doa buruk beliau (Abdul Hadi) dan sebagai ulama politik, beliau mempunyai ‘fatwa’ yang berbeza-beza dan fatwa itu bergantung pada situasi… 

“Nilai sendirilah, apa yang beliau sebutkan itu sebagai fatwa politik,” katanya seperi dilapor media tempatan.

Beliau berkata demikian selepas mesyuarat bulanan Kementerian Luar Bandar dan Wilayah di Risda, Khamis (2 Mac).

Ahmad Zahid juga berkata, terdapat lebih banyak isu mendesak yang harus ditumpukan oleh ahli politik dan bukannya berpolitik.

Beliau juga menyatakan bahawa perubahan kerajaan hanya wajar dilakukan pada pilihan raya umum akan datang.

“Apa yang penting sekarang ialah kestabilan politik dan isu yang dihadapi rakyat. Ketepikanlah soal perbezaan pendapat.

“Jika mahu menukar kerajaan, buatlah pada Pilihan Raya Umum ke-16,” katanya lagi.

Sebelum ini, Abdul Hadi dilaporkan berkata bahawa kerajaan diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan tumbang.

“Orang tanya bila berlaku ini. Ini ramalan. Insya-Allah, (akan berlaku) dalam masa terdekat,” katanya.

Beliau juga berkata di Dewan Rakyat untuk tidak menyalahkan pembangkang sekiranya kerajaan tumbang.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button