Berita Utama

Seorang penumpang positif COVID-19 sebelum naik pesawat ke Langkawi

Ahli keluarga juga tak dibenarkan berlepas kerana kontak rapat

BANGI, 9 Safar 1443H, Khamis – Seorang penumpang tidak dibenarkan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Langkawi hari ini selepas disahkan positif COVID-19.

 

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, penumpang berkenaan telah menjalani proses susulan dan akur tidak dibenarkan menaiki penerbangan ke pulau berkenaan.

 

“Ahli-ahli keluarga penumpang yang disahkan positif melalui ujian Rapid Test Kit Antigen (RTK-Antigen) itu juga tidak menaiki pesawat kerana mempunyai kontak rapat.

 

“Ujian pengesanan COVID-19 ini dilaksanakan adalah semata-mata mahu menjamin keselamatan semua pihak dan dalam masa sama memastikan Projek Rintis Gelembung Pelancongan Domestik Langkawi berjalan baik,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.

 

Terdahulu beliau membuat tinjauan keadaan di KLIA dan KLIA2 hari ini bagi melihat proses ujian RTK-Antigen diadakan terhadap penumpang sebelum mereka dibenarkan memulakan perjalanan udara ke Langkawi.

 

Pada masa sama, Ka Siong berkata, beliau mendapati ada penumpang telah membawa kit ujian kendiri untuk air liur selain membelinya dari kaunter jualan di KLIA dan KLIA2.

 

“Hari ini, terdapat lapan penerbangan (empat Malaysia Airlines, satu Malindo Airways dan tiga AirAsia) ke Langkawi dengan jumlah penumpang 1,520 orang sempena bermulanya Projek Rintis Gelembung Pelancongan Domestik Langkawi,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button