Tragedi Sabra, Shatila: Hamas tuntut keadilan meski sudah 39 tahun berlalu
Rejim penjajah terlalu zalim, lakukan pembunuhan paling keji

RAMALLAH, 10 Safar 1443H, Jumaat – Meskipun sudah 39 tahun berlalu, sejarah hitam pembunuhan ribuan rakyat Palestin di kem pelarian Sabra dan Shatila pada 1982 tidak akan pernah dilupakan.
Sempena ulang tahun kejadian berdarah itu, Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) menegaskan, kejahatan rejim penjajah Israel terhadap rakyat Palestin akan terus menghantui mereka.
“Pembunuhan beramai-ramai itu langsung tidak melemahkan ketabahan dan semangat rakyat Palestin hari ini.
“Mereka akan terus berusaha menuntut keadilan ke atas pembunuhan paling keji rejim Zionis.
“Sudah tiba masanya kami menamatkan tindakan zalim Israel yang membunuh ribuan penduduk di Sabra dan Shatila walaupun sudah hampir empat dekad lalu,” katanya.
Bagi Hamas, tentera Zionis membawa entiti penjenayah yang langsung tidak mahu keamanan dan rundingan damai – konon bagi mereka tidak membawa kebaikan.
Pada 16 September 1982, tentera Zionis Israel menyerbu kem pelarian di Beirut dan melakukan pembunuhan beramai-ramai. Sabra dan Shatila dahulu menjadi penempatan bagi rakyat Palestin dan warga Lubnan.
Sekurang-kurangnya 3,000 orang menjadi korban dalam masa 3 hari sahaja bermula daripada 16 hingga 18 September 1982.
Mereka yang terkorban kebanyakannya adalah pelarian wanita, kanak-kanak dan juga warga emas. -Agensi