Bantah rancangan bina hotel di kawasan masjid Uyghur
Projek Hilton Worldwide langgar hak asasi manusia

WASHINGTON, 10 Safar 1443H, Jumaat – Lebih 40 organisasi hak sivil muslim-Amerika mengumumkan kempen memboikot Hilton Worldwide, susulan hasrat syarikat itu membina sebuah hotel di kawasan masjid Uyghur yang dirobohkan oleh pihak berkuasa di wilayah Xinjiang.
Bercakap pada sidang media yang diadakan di hadapan ibu pejabat Hilton di Virginia, Majlis Hubungan Amerika-Islam (CAIR) berkata, mereka telah ‘berunding secara tidak langsung’ dengan kumpulan hotel – meminta mereka untuk membatalkan rancangan – namun perbincangan itu tidak berjaya.
Pengarah Eksekutif CAIR, Nihad Awad menegaskan, projek itu adalah pelanggaran hak asasi manusia yang menyumbang kepada pemusnahan budaya dan pegangan Uyghur.
“Hari ini (semalam), kami mengumumkan kempen boikot global terhadap Hilton.
“Anda dan saya mempunyai pilihan untuk memilih tempat tempat ketika dalam perjalanan atau melakukan mesyuarat perniagaan, mengadakan masjlis atau jamuan,” katanya.
Awad berkata, mereka diberitahu mengenai cadangan projek itu pada awal bulan Jun.
Kira-kira 16,000 masjid di 900 lokasi Xinjiang hancur sebahagian atau sepenuhnya antara 2017 dan 2020, menurut penyelidikan oleh Institut Dasar Strategik Australia.
Kemusnahan telah disahkan oleh laporan di lapangan serta perbandingan foto satelit dari tahun-tahun sebelumnya hingga sekarang.
China telah melaksanakan kempen yang panjang terhadap penduduk Uyghur dengan tahanan beramai-ramai, pensterilan paksa, memisahkan anak-anak dari keluarga serta memusnahkan lokasi keagamaan dan budaya.
Bagaimanapun negara itu menolak dakwaan tersebut. – Agensi