Berita Utama

Beri perhatian kes ‘Long COVID’

Perlu sasar peruntukan 7 ke 8 peratus KDNK untuk sektor kesihatan

BANGI, 10 Safar 1443H, Jumaat – Malaysia wajar memiliki dasar dan strategi khusus untuk mengenal pasti, menyelidik dan memulih kesan jangka panjang COVID-19 (Long COVID) terhadap penghidapnya.

Ketika ini, sudah lebih dua juta rakyat terjangkit virus dan angka berkenaan mungkin lebih tinggi dan kemungkinan peratusan bekas pesakit mempunyai ‘Long COVID’ juga semakin ramai.

Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pemulihan kesihatan mereka ini sangat penting kepada kualiti kesihatan awam secara meyeluruh.

“Saya menyarankan agar kerajaan mula memberi perhatian kepada kes ‘Long COVID ini’ secara terpadu.

“Dasar kita menangani pandemik ini tidak boleh terhenti dari segi pencegahan dan rawatan. Ia mesti juga merangkumi rawatan jangka masa panjang terhadap bekas pesakit serta pelbagai penyelidikan berkaitan,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Mohamad Hasan menjelaskan bahawa ‘Long COVID’ adalah keadaan bekas pesakit terus mengalami pelbagai masalah kesihatan selepas pulih, dengan kebanyakannya berterusan selama empat ke 12 minggu, malah ada yang berlarutan sehingga sembilan bulan.

Bagaimanapun, kerajaan hingga kini belum mengemuka data terperinci berkaitan masalah ini, namun beberapa universiti tempatan sudah mula menjalankan kajian terhadapnya, katanya.

“Lancet, jurnal perubatan paling berwibawa dalam terbitannya pada 28 Ogos 2021 menyatakan ‘Long COVID’ cabaran besar terhadap sektor perubatan. Banyak masih tidak diketahui tentangnya.

“Justeru, pelbagai penyelidikan rentas disiplin sangat perlu untuk membolehkan rawatan terbaik diberikan,” katanya.

Pada perkembangan sama, beliau berkata, kefahaman mengenai vaksinasi, kaedah rawatan dan pemulihan yang berkesan serta pelaburan untuk penyelidikan berkaitanya harus diberikan keutamaan.

Katanya, dunia perubatan akan terus terbeban dengan pelbagai cabaran baru kerana pandemik ini, oleh itu pelaburan kesihatan negara tidak boleh lagi pada kadar empat peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Telah tiba masanya kita menyasarkan peruntukan tujuh ke lapan peratus KDNK negara untuk sektor kesihatan.

“Langkah ini adalah permulaan yang baik untuk reformasi besar-besaran sektor perubatan dan kesihatan setelah tekanan luar biasa terhadap sistem perubatan kita sejak Februari 2020,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button