Berita Utama

‘Keluarga Malaysia’ perlu jadikan Rukun Negara sebagai tonggak

Dasar sosial negara indikator wujudkan masyarakat madani

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 10 Safar 1443H, Jumaat – Konsep ‘Keluarga Malaysia’ harus bersifat kompak, berwibawa dan didominasikan oleh seluruh warga dari pelbagai pengalaman kepakaran yang berkhidmat untuk rakyat dan negara.

Walaupun hanya kesinambungan penjenamaan 1Malaysia – yang diperkenalkan Datuk Seri Najib Razak – Keluarga Malaysia harus memiliki pengisian wadah institusi rakyat yang dinamik, dahagakan anjakan paradigma bagi membangunkan sosioekonomi yang lebih baik pada masa hadapan.

Penganalisis politik, Dr Syed Agil Syed Alsagoff berkata, konsep ini adalah simbol pemerkasaan perpaduan semua kaum di bawah satu bumbung iaitu Malaysia.

Jelasnya, kesamarataan bermaksud mendirikan suatu masyarakat madani yang berteraskan kepada semangat Rukun Negara, persefahaman, menyingkir perbezaan ideologi politik, bersama-sama membantu kerajaan mendirikan negara yang teguh dari segi sistem sosial.

“Bagaimanapun strategi-strategi tersebut seharusnya lebih bersifat komprehensif, mudah diterjemahkan ke dalam pemikiran dan tingkah laku rakyat dengan pelaksanaan yang boleh merangsang penyatuan harapan rakyat untuk menjalinkan rasa keharmonian kaum tanpa prejudis antara satu sama lain.

“Dasar sosial negara harus dijadikan suatu indikator untuk mewujudkan masyarakat madani, berpegang teguh terhadap prinsip Rukun Negara, semangat patriotik dan kecintaan kepada negara bangsa.

“Bahkan bersama-sama bersatu teguh memperjuangkan nilai kemerdekaan dan pasak semangat patriotik dalam kalangan masyarakat Malaysia sejak bangku persekolahan,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net.

Pada keseluruhannya, beliau berkata, pendekatan dan peranan Kabinet Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan menjadi indikator kepada persepsi rakyat terhadap kewibawaan kerajaan baharu yang dipimpini beliau.

Ia termasuk dengan memperkenalkan langkah-langkah bersepadu drastik yang mampu menterjemahkan dasar-dasar demi kebaikan rakyat.

“Ia juga bererti bahawa dasar-dasar yang bakal diperkenalkan nanti mampu meredakan suhu politik dan mengembalikan kepercayaan serta keyakinan rakyat untuk berganding bahu memulihkan negara hari ini dan masa depan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button