Berita Utama

Majlis akad nikah dibenarkan di masjid Wilayah Persekutuan

Kehadiran terhad 10 orang, syarat mesti lengkap vaksin

BANGI, 10 Safar 1443H, Jumaat – Majlis akad nikah kini dibenarkan di masjid di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Perkara itu berkuat kuasa hari ini selepas diputuskan menerusi Garis Panduan Pelaksanaan Majlis Akad Nikah Dalam Tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 2 di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) memaklumkan, pasangan yang mempunyai kebenaran berkahwin daripada Jawi hendaklah membuat janji temu dengan pihak masjid bagi mendapatkan tarikh serta waktu akad nikah.

“Kehadiran ke majlis akad nikah di masjid masih terhad kepada 10 orang sahaja.

“Kebenaran diberikan kepada pengantin lelaki, pengantin perempuan, wali, ibu pengantin perempuan, kedua-dua ibu bapa pengantin lelaki, jurunikah, dua orang saksi daripada pihak Jawi atau masjid yang berkenaan dan seorang jurugambar,” katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.

Jawi juga menegaskan, semua pihak yang dibenarkan hadir ke majlis akad nikah mestilah lengkap menerima vaksin serta mempamerkan sijil vaksin digital.

“Individu yang masih tidak lengkap vaksin adalah diwajibkan untuk menjalani swab test PCR dalam tempoh tiga hari sebelum majlis akad nikah,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button