Berita Utama

Pulau Pinang benarkan jemaah lengkap vaksinasi solat ikut kapasiti masjid, surau

Majlis sosial masih tidak dibenarkan

GEORGE TOWN, 10 Safar 1443H, Jumaat – Jemaah yang telah lengkap vaksinasi dibenarkan untuk mendirikan solat fardu dan Jumaat mengikut kapasiti ruang sesebuah masjid atau surau di negeri ini, mulai esok.

Bagaimanapun, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP), Datuk Mohd Zakuan Zakaria berkata, jemaah perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketat yang ditetapkan dalam usaha membendung penularan wabak COVID-19.

“Namun bagi mereka yang baharu sahaja mendapat satu dos vaksin, jemaah dibenarkan untuk hadir menunaikan solat di masjid dan surau seperti SOP terdahulu iaitu hanya 150 orang untuk masjid negeri, 100 orang di masjid kariah dan 50 orang di surau.

“Selain itu, pihak masjid atau surau juga perlu menyediakan ruang khas untuk mereka yang bermusafir dan pemandu e-hailing menunaikan solat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, bagi khutbah Jumaat, khatib jemputan tidak dibenarkan dan hanya boleh menggunakan teks JHEAIPP.

Mohd Zakuan berkata, semua majlis ilmu haruslah diadakan secara dalam talian sahaja manakala bacaan Yassin dan tahlil secara fizikal dibenarkan pada malam Jumaat.

Katanya pada masa ini, majlis rasmi, akad nikah atau majlis sosial masih tidak dibenarkan di masjid atau surau di negeri ini.

“Bagi pengurusan jenazah bukan kematian COVID-19, seramai 30 orang dibenarkan untuk solat jenazah dan urusan pengebumian. Ziarah kubur juga dibenarkan,” katanya.

Beliau berkata, pihak masjid dan surau perlu membentuk Jawatankuasa Pemantau untuk memastikan SOP yang dikeluarkan itu dipatuhi dan mengambil tindakan segera dengan melakukan sanitasi jika terdapat kes COVID-19.

“Semua SOP itu terpakai pada warganegara dan pemastautin tetap berusia 17 hingga 70 tahun, manakala bagi mereka berusia 71 tahun ke atas yang sihat boleh melaksanakan solat di masjid atau surau tapi tidak digalakkan,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button