Berita Utama

Sultan Johor kecewa KDN enggan semak syarat ketat MM2H

Keputusan hanya akan bawa implikasi negatif

JOHOR BAHRU, 10 Safar 1443H, Jumaat – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar hari ini menzahirkan kekecewaan terhadap Kementerian Dalam Negeri (KDN) kerana enggan menyemak semula semula syarat ketat Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) yang ditetapkan baru-baru ini.

Baginda menerusi hantaran di laman Facebook rasmi bertitah akan membangkitkan perkara berkenaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob secara peribadi dalam tempoh terdekat.

Baginda bertitah, ia memandangkan Johor merupakan antara destinasi popular MM2H selain program itu turut menyumbang kepada pendapatan negeri.

Menurut baginda, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin sebelum ini menyatakan bahawa kerajaan akan menyemak semula syarat ketat program terbabit.

“Bagaimanapun, apa yang kita dengar di Parlimen hanyalah janji untuk mempertimbangkan permohonan peserta MM2H berdasarkan kes demi kes yang mana (perkara) ini adalah di luar jangkaan dan sesuatu yang mengecewakan.

“Sekiranya keselamatan adalah justifikasi utama untuk kriteria baharu, maka pihak kementerian (KDN) hanya perlu membatalkan visa pemegang pas MM2H yang didapati melakukan kesalahan dan bukannya melibatkan semua peserta,” titah baginda.

Sultan Ibrahim pada masa sama bertitah keputusan berkenaan hanya akan membawa implikasi negatif memandangkan program MM2H sebelum ini memberi kesan positif kepada ekonomi negara.

“MM2H merupakan satu program yang memberi kesan baik kepada ekonomi negara termasuk rakyat dan kerajaan. Oleh itu, jika kita mengenakan syarat ketat hingga memberi kesan kepada peserta, dikhuatiri kelak akan menjejaskan imej negara di mata dunia.

“Justeru, saya berharap agar perkara ini akan mendapat perhatian dan pertimbangan daripada kerajaan tanpa membuat keputusan drastik terhadap program ini,” tegas baginda. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button