Berita UtamaIstimewa

UEC bukan isu picisan, sistem pendidikan Taiwan dijunjung

Sampai bila-bila pun ia tidak boleh dilaksana di negara ini

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 11 Safar 1443H, Sabtu – Keputusan membenarkan graduan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) mengikuti Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) di Institut Pendidikan Guru (IPG) perlu diteliti semula.

Ini kerana tindakan membenarkan pelajar lepasan UEC melanjutkan pelajaran ke IPG boleh disifatkan sebagai ‘memberi muka’ meskipun pada hakikatkannya ketegasan kerajaan amat ditagih.

Perkara itu ditegaskan oleh Presiden Alumni Gabungan Pelajar Malaysia Semenanjung (GPMS) Kebangsaan, Datuk Syed Anuar Syed Mohamad yang melihat isu UEC perlu dipandang secara serius oleh semua pihak.

“Alumni GPMS secara tegas dan kekal dengan pendirian untuk tidak bersetuju dengan UEC dan semua pihak terutama Kementerian Pendidikan dan Kabinet perlu duduk semeja bagi membincangkan isu serta meneliti semula perkara ini bagi menolak UEC.

“Isu ini bukan perkara picisan sebaliknya bertentangan dengan Perlembagaan negara kita, pengiktirafan sijil UEC adalah tidak selaras dengan dengan Akta Pendidikan 1996, Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Kurikulum Kebangsaan.

“Sampai bila-bila pun UEC tidak boleh dilaksanakan di negara kita, kenapa perlu kita junjung sistem pendidikan yang diambil dari Taiwan sedangkan kita sudah memiliki dasar pendidikan yang terbaik dan diamalkan sejak merdeka lagi,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Mengulas lanjut, Syed Anuar yang terlibat secara langsung dalam dunia pendidikan selama 30 tahun berkata, mengambil dan mengaplikasikan sesuatu dari luar ke dalam negara adalah perbuatan yang tidak bertanggungjawab.

“Tindakan ini sekali gus menolak sistem pendidikan kebangsaan yang sudah lama diguna pakai semenjak kemerdekaan negara kita.

“Kalau kita campur adukkan dengan sistem pendidikan kita dengan sistem pendidikan luar, ini dilihat menjatuhkan maruah kita sebagai sebuah negara yang berdaulat,” katanya lagi.

Sehubungan itu, beliau menggesa supaya pemimpin negara tidak menggadaikan maruah bangsa dengan mengiktirafkan UEC atas niat memperkukuhkan kuasa politik.

“Jangan perlekehkan Penyata Razak, Penyata Rahman dengan mengiktirafkan UEC, dan tidak cabuli bahasa kebangsaan sendiri kerana perkara ini,” tegas beliau.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button