Berita Utama

Isu Kg Baru: Campur tangan kerajaan ditagih, jangan sampai tergadai

Wujud polisi jaminan untuk kembali miliki, menetap di tanah dibangunkan

BANGI, 11 Safar 1443H, Sabtu – Kerajaan diminta untuk tidak bersikap lepas tangan dan membiarkan penduduk di Kampung Baru terabai, dengan membenarkan mereka mengurus sendiri hal ehwal jual beli tanah.

Sepatutnya sebagai sebuah kerajaan ‘Keluarga Malaysia’ bertanggungjawab, satu polisi wajar diwujudkan kepada pemaju khusus yang terlibat secara langsung dengan pembangunan di kawasan berkenaan.

Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Haji Aminuddin Yahaya berkata, perkara tersebut perlu diberikan perhatian agar hak orang Melayu sentiasa terbela.

“Sememangnya kita tahu kawasan itu adalah strategik dan harga akan melambung tinggi apabila pembangunan siap dilaksanakan, ini menyebabkan orang asal di Kampung Baru mungkin tidak mampu memiliki semula tanah di situ.

“Sebab itu kerajaan ditagih untuk masuk campur dengan mewujudkan polisi tertentu supaya mereka diberi jaminan untuk kembali berpeluang memiliki dan menetap di atas pembangunan yang dilakukan.

“Kita bimbang kawasan itu tergadai kepada bangsa-bangsa lain dan sekali gus melenyapkan hak sebenar orang Melayu sendiri,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Kelmarin, Menteri Wilayah, Datuk Seri Shahidan Kassim menegaskan tidak mahu terlibat dalam pembelian tanah di Kampung Baru sebaliknya pembangunan dilaksanakan secara usaha sama pemaju dan pemilik tanah.

Mengulas lanjut, Aminuddin berkata, PEMBELA tidak pernah menolak pembangunan di kawasan itu sebaliknya mencadangkan supaya Kampung Baru digazetkan sebagai Tanah Rizab Melayu.

“Ini penting supaya kawasan itu tidak dijual kepada orang asing, jangan kerana pembangunan semata-mata kita gadai tanah air sendiri, ini hak kita dan perlu berjuang dengan betul,” katanya.

Dalam masa sama, beliau turut mencadangkan supaya ada bahagian di kawasan itu dijadikan tempat mempamerkan konsep Melayu yang boleh menghimpunkan budaya-budaya di negara ini.

“Keadaan itu sekali gus dilihat dapat menjadi tarikan baharu kepada pelancong dari dalam dan luar negara selain memperkenalkan keunikan dan keistimewaan yang ada di negara kita sendiri,” ujarnya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button