Berita Utama

Wisma Putra pantau rakyat Malaysia didakwa di Somalia

Pastikan kes dibicara secara adil berlandas perundangan sewajarnya

KUANTAN, 11 Safar 1443H, Sabtu – Wisma Putra memantau rapat penahanan dan proses perundangan yang dikenakan terhadap seorang warganegara Malaysia, didakwa memasuki Somalia dengan tujuan pembabitan dalam aktiviti kumpulan Al-Shabab.

 

Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah berkata, pegawai dari Kedutaan Besar Malaysia di Khartoum, Sudan sudah berhubung dan mengadakan lawatan konsular bagi memastikan kebajikan dan kesihatan Ahmad Mustakim Abdul Hamid sentiasa terjaga.

 

“Kementerian Luar akan terus pantau perkembangan kes ini dan hulurkan bantuan sewajarnya kepada Ahmad Mustakim dengan memastikan supaya hak-hak dan kebajikan sentiasa terjaga di samping pastikan beliau dibicarakan secara adil berlandaskan perundangan sewajarnya.

 

“Kita mesti menghormati undang-undang negara tersebut dan mungkin kita akan minta supaya wakil kedutaan hadir ketika perbicaraan kelak.

 

“Kita sudah menghubungi keluarga Ahmad Mustakim bagi memaklumkan keadaan beliau,” katanya pada sidang media di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Indera Mahkota di sini hari ini.

 

Sementara itu, menyentuh mengenai kapal selam nuklear baharu Australia melibatkan kerjasama United Kingdom dan Amerika Syarikat, Saifuddin berkata, beliau telah meminta butiran terperinci mengenai pemilikan aset itu daripada negara berkenaan.

 

“Saya telah dihubungi dan adakan perbualan telefon dengan Menteri Luar Australia Marise Payne dan beliau menerangkan tentang projek kapal selam itu dengan tujuan untuk mengelakkan berlaku salah faham.

 

Menerusi perbualan itu juga, Saifuddin menekankan Malaysia mengamalkan Zon Aman, Bebas dan Berkecuali (ZOPFAN), selain berpegang kepada deklarasi Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ) dan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) 1982 tentang Undang-undang Perjanjian Laut (UNCLOS).

 

“Pandangan kita bahawa perkara ini berkemungkinan menyebabkan reaksi kuasa-kuasa besar lain dan kita tidak mahu terperangkap dalam perlumbaan senjata antara kuasa-kuasa besar,” katanya.

 

Tambah beliau, semua Menteri Luar ASEAN dijangka akan mengeluarkan kenyataan bersama berhubung isu ini dalam masa terdekat. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button