Berita Utama

Ajaran PMYT bercanggah hukum syarak, bahaya keselamatan negara

Tiada jalan pintas ke syurga sebaliknya kembali kepada ketulenan ajaran Islam

KOTA BHARU, 11 Safar 1443H, Sabtu – Mesyuarat Khas Muzakarah Fatwa Kebangsaan (MFK) memutuskan ajaran Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (PMYT) bercanggah dengan agama Islam, bertentangan dengan hukum syarak dan membahayakan keselamatan negara.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, keputusan itu diputuskan pada mesyuarat minggu lepas yang dihadiri para mufti dan beliau sendiri.

 

“Alhamdulillah keputusan sudah keluar dan tindakan susulan akan diambil oleh pihak berkuasa terhadap wanita berkenaan dan lebih 1,000 pengikutnya.

“Kita juga merasakan kes ini akan ditutup dalam masa terdekat dan yang tinggal hanyalah proses pendakwaan,” katanya selepas menyempurnakan Program Penyampaian Bantuan Secara Pandu Lalu Kepada Pelajar Cemerlang yang akan melanjutkan pelajaran ke Institut Pengajian Tinggi (IPT), di sini hari ini.

Beliau berkata susulan keputusan dibuat oleh MFK, terpulang kepada pihak Majlis Agama Islam Negeri untuk mewartakan mengenai ajaran tersebut.

Ahmad Marzuk turut menasihati masyarakat tidak mencari ‘jalan pintas’ ke syurga dengan pelbagai cara sebaliknya kembali kepada ketulenan ajaran Islam dengan merujuk kepada pihak majlis agama negeri.

“Kita boleh merujuk kepada hadis dan al-Quran yang sebenarnya sudah ada panduan lengkap cara mengamalkan agama,” katanya.

Beliau berkata hukuman akan diputuskan oleh mahkamah terhadap wanita yang juga pengasas ajaran itu dan pengikutnya boleh dikenakan penjara serta denda.

Katanya, sebelum ini, wanita berkenaan sudah dinasihatkan oleh suaminya supaya tidak meneruskan ajaran berkenaan.

“Saya difahamkan, suami wanita itu tidak menjadi pengikut isterinya, sebaliknya pengikut wanita itu adalah dalam kalangan mereka yang dikenali secara dalam talian,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button