Berita Utama

61 SMKA, 228 SABK terlibat Modul Hadis 40 Imam Nawawi

Pupuk semangat ihsan dan memperkasakan kefahaman agama

KUALA LUMPUR, 8 Safar 1445H, Jumaat – Program rintis Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi akan dilaksanakan dengan melibatkan guru dan murid beragama Islam di 61 Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) dan 228 Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) seluruh negara.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam kenyataan hari ini berkata, pelaksanaan Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi itu disasarkan kepada guru dan murid beragama Islam sahaja.

KPM memaklumkan, pelaksanaan modul itu bertujuan memupuk semangat ihsan, kasih sayang dan memperkasakan kefahaman agama dalam kalangan guru dan murid beragama Islam.

“Inisiatif ini diharapkan mampu melahirkan generasi anak yang baik lagi cerdik seterusnya mengangkat karamah insaniah berdasarkan tiga elemen utama iaitu adab, akhlak dan integriti,” menurut kenyataan itu.

Menurutnya lagi, KPM sentiasa berusaha menerapkan nilai-nilai murni yang merangkumi elemen perpaduan, silang budaya, kepelbagaian agama dan saling menghormati antara kaum dalam setiap inisiatif yang dilaksanakan di institusi-institusi pendidikan bawah kelolaannya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button