Dunia

Bekas Presiden Algeria meninggal dunia

Abdelaziz Bouteflika meninggal selepas 2 tahun letak jawatan Presiden

ALGIERS, 11 Safar 1443H, Sabtu – Bekas Presiden Algeria, Abdelaziz Bouteflika dilaporkan meninggal dunia, semalam pada usia 84 tahun selepas 29 bulan mengundurkan diri daripada jawatan utama negara.

Bouteflika yang juga merupakan veteran perang Algeria untuk kemerdekaan, menjadi Presiden di negara utara Afrika itu selama dua dekad.

Beliau melepaskan jawatan disandang pada April 2019 susulan tercetusnya tunjuk perasaan di jalanan membantah hasratnya untuk memegang tampuk pemerintahan bagi penggal kelima.

Sejak itu, pemimpin berkenaan jarang kelihatan yang mana sebelum ini beliau dilaporkan pernah mengidap masalah angin ahmar pada tahun 2013.

Selepas pengunduran Bouteflika, dalam usaha menamatkan tunjuk perasaan yang menuntut kepada pengukuhan politik dan ekonomi, pihak berkuasa telah menjalankan siasatan terhadap kegiatan salah laku serta rasuah dalam kerajaan terdahulu.

Situasi itu menyaksikan ramai pegawai-pegawai kanan kerajaan dipenjarakan termasuk penasihat dan juga adik kepada Bouteflika iaitu Said.

Bouteflika dianggap sebagai wira negara dalam kalangan penyokongnya kerana keberanian turun ke medan perang bagi memerdekakan Algeria dari penguasaan Perancis.

Selepas mencapai kemerdekaan pada tahun 1962, Bouteflika dilantik sebagai Menteri Luar Negara dan merupakan antara individu berpengaruh dalam kalangan rakyat. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button