Dunia

Myanmar perlu lebih banyak bekalan vaksin COVID-19

Setakat Ogos hanya 3.3 peratus orang dewasa lengkap divaksin

KUALA LUMPUR, 11 Safar 1443H, Sabtu – Masyarakat antarabangsa perlu membantu Myanmar untuk mendapatkan lebih banyak bekalan vaksin COVID-19 bagi membantu negara ini meningkatkan pemberian vaksin berikutan peningkatan kes dan kematian akibat virus itu semakin meningkat setiap hari.

Ketua Perwakilan Persekutuan Antarabangsa Persatuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah (IFRC) di Myanmar, Joy Singhal berkata situasi COVID-19 di negara ini semakin parah diburukkan lagi dengan sistem kesihatan yang kian lumpuh dan rusuhan awam.

“Myanmar adalah negara termiskin di Asia Tenggara dan sedang bergelut dengan peningkatan kes COVID-19.

“Keperluan utama dan mendesak sekarang ialah bekalan vaksin COVID-19. Bantuan masyarakat antarabangsa amat diperlukan dengan menyalurkan lebih banyak vaksin,” katanya ketika dihubungi Bernama baru-baru ini.

Setakat Ogos 2021, hanya 3.3 peratus orang dewasa daripada kira-kira 54 juta penduduk di Myanmar sudah lengkap divaksin, menurut Our World in Data Universiti Oxford.

Pada 1 Februari, tentera Myanmar menahan Kaunselor Negara Aung San Suu Kyi dan Presiden Win Myint dalam satu rampasan kuasa yang mengakhiri satu dekad pemerintahan awam.

Singhal berkata wabak COVID-19 bukan satu-satunya kesengsaraan yang perlu dilalui rakyat Myanmar, bencana banjir dan pertempuran menyebabkan krisis kemanusiaan kian parah.

“Saya rasa masyarakat antarabangsa perlu akui bahawa keperluan kemanusiaan di Myanmar cukup besar dan pada saat inilah rakyat Myanmar amat mendambakan bantuan dan sokongan masyarakat dunia.

“Komuniti antarabangsa dan sektor bantuan perlu mempunyai visi jangka pendek dan jangka panjang untuk rakyat Myanmar agar mereka dapat membina kapasiti dan daya tahan serta mengurangkan kemiskinan sehingga mereka dapat mendepani apa jua krisis tanpa memerlukan bantuan kemanusiaan,” katanya.

Singhal berkata IFRC bersama Persatuan Palang Merah Myanmar (MRCS) terpaksa mengharungi pelbagai cabaran dalam menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir.

Mengulas lanjut, katanya IFRC sedang mengatur untuk mengagihkan barangan keperluan penting ke kawasan lain yang turut dilanda banjir.

“Bantuan itu termasuk peralatan untuk mencegah COVID-19, kami (IFRC) menyokong MRCS dengan menyediakan silinder oksigen, kelengkapan perlindungan diri (PPE) dan juga khidmat kaunseling,” katanya.

MRCS mempunyai lebih 40,000 sukarelawan di seluruh negara dan sekitar 600 kakitangan, selain itu terdapat kira-kira 20 staf IFRC di Myanmar untuk membantu MRCS. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button