Berita Utama

Permohonan tukar tanaman getah kepada kelapa sawit dibawa ke kementerian

Belum ada dasar proses tanaman semula babit penukaran jenis tanaman

PADANG TERAP, 11 Safar 1443H, Sabtu – Permohonan sekumpulan peneroka Felda Lubuk Merbau di sini, mahu menukar tanaman getah kepada kelapa sawit akan dibawa ke peringkat Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dalam masa terdekat.

Menterinya Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata pada masa ini belum ada dasar berkaitan proses tanaman semula membabitkan penukaran jenis tanaman, justeru ia perlu diteliti terlebih dahulu.

“Kena ada perbincangan di peringkat tertinggi (kementerian) jika ada perubahan dari segi tanaman. Banyak peneroka minta beralih kepada kelapa sawit.

“Kami akan tengok dari segi dasar di kementerian dan RISDA (Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah),” katanya kepada pemberita selepas taklimat mengenai program tanam semula di Dewan Mesyuarat Pusat Pentadbiran Komuniti Felda Lubuk Merbau, di sini hari ini.

Beliau berkata proses tanaman semula di Felda berkenaan akan dilakukan secara berperingkat bermula tahun hadapan, melibatkan 416 peneroka dengan kawasan seluas lebih 585 hektar.

Namun, difahamkan seramai 360 peneroka tersebut memohon supaya pihak kementerian mempertimbangkan agar dapat menukar tanaman mereka daripada getah kepada kelapa sawit.

Mahdzir berkata antara faktor mendorong peneroka mahu menukar tanaman kerana harga komoditi kelapa sawit lebih tinggi berbanding getah.

“Faktor lain adalah penggunaan tenaga kerja, kebun getah kena ada pekerja tetap sebab perlu ditoreh setiap hari kecuali pada hari hujan, kalau kelapa sawit bukan hari-hari kena kerja,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button