Berita Utama

Seorang lagi positif COVID-19, gagal teruskan percutian ke Langkawi

Terpaksa jalani kuarantin dan perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah

BANGI, 11 Safar 1443H, Sabtu – Seorang penumpang dikesan positif COVID-19 berikutan saringan ke atas 2,326 individu di lapangan terbang melalui Projek Rintis Gelembung Pelancongan Langkawi, Kedah, hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sehingga pukul 12 tengah hari, 2,507 individu telah menjalani ujian saringan dengan 2,326 individu dilakukan di lapangan terbang manakala 181 lagi di Jeti Kuala Perlis.

“Hasil daripada saringan yang dilakukan di tiga lapangan terbang, seorang disahkan positif melalui ujian RTK-Ag di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2).

“Kes positif ini didapati dalam kategori satu dan diberikan perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) untuk menjalani kuarantin di rumah selama tempoh 10 hari,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, bagi jenis ujian yang dijalankan pula, seramai 2,481 individu melakukan ujian COVID-19 iaitu 2,468 RTK-Ag dan 13 RT-PCR manakala 26 individu lagi adalah kanak-kanak berumur enam tahun ke bawah yang dikecualikan.

Noor Hisham berkata, daripada 2,507 individu yang disaring tersebut, seramai 2,506 individu diluluskan untuk meneruskan perjalanan ke Langkawi iaitu 2,325 orang menerusi penerbangan dan 181 lagi melalui feri.

“Semua individu itu diminta terus mengamalkan tindakan kesihatan awam kendiri dalam apa keadaan sekalipun bagi menjaga keselamatan diri, keluarga, dan masyarakat sekeliling,” katanya.

Kelmarin, lima kes positif daripada 2,528 orang telah menjalani ujian RTK-Ag sebelum mereka berlepas ke Pulau Langkawi di pintu masuk udara dan laut.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button