Berita Utama

Sultan Nazrin berkenan lantik Jemaah Pemangku Raja Perak

Selaras perundang dalam tempoh baginda jalankan fungsi Yang di-Pertuan Agong

IPOH, 11 Safar 1443H, Sabtu – Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan melantik Jemaah Pemangku Raja Perak berkuat kuasa hari ini.

Setiausaha Dewan Negara Perak Toh Amar Seri Diraja Datuk Seri Ayop Hashim dalam satu kenyataan berkata Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa dilantik menjadi Pengerusi Jemaah Pemangku Raja Perak.

Dua lagi individu dilantik sebagai ahli jemaah ialah Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja Jeneral (B) Tan Sri Dr Mohd Zahidi Zainuddin dan Orang Kaya Kaya Seri Agar Diraja Tan Sri Ramli Ngah Talib.

“Ini selaras dengan Undang-undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan, Bahagian Kedua, Perkara XV; dalam tempoh masa baginda menjalankan fungsi-fungsi Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Sultan Nazrin yang juga Timbalan Yang di-Pertuan Agong menjalankan fungsi-fungsi Yang di-Pertuan Agong sebagaimana diperuntukkan di bawah Perkara 33(1) Perlembagaan Persekutuan sepanjang keberangkatan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ke United Kingdom.

Dilapor, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan berkata lawatan khas Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah ke United Kingdom itu bermula semalam hingga 27 September ini dan Seri Paduka berdua kemudian berkenan beristirahat di London bermula 27 September dan dijadualkan berangkat pulang ke tanah air pada 23 Okt.

Ahmad Fadil berkata lawatan khas itu adalah kali kedua Seri Paduka ke United Kingdom sejak dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong selepas kali pertama pada 9 Dis 2019 selama tujuh hari. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button