Berita Utama

Buku teks Sejarah UEC berkiblatkan China, tak ajar kehebatan Malaysia

Dinasti Ming diagungkan, kesultanan Melayu Melaka dilindungi

BANGI, 12 Safar 1443H, Ahad – Fungsi utama buku teks Sejarah untuk membina negara bangsa, mengagungkan Perlembagaan serta kesultanan, namun malang sekali apabila semua itu langsung tidak dimasukkan dalam silibus buku teks Sejarah Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).

Presiden Persatuan Pesara Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Malaysia (PPPPPM), Datuk Abdul Raof Hussin berkata, buku teks Sejarah UEC tidak mengajar mengenai kehebatan Malaysia, sebaliknya mengagungkan sejarah negara China.

Bayangkan, buku ini terus digunakan, pelajar UEC dilayan, dihormat lebih daripada melayan pelajar sekolah menengah kebangsaan. 

Biar apa pun alasannya, Kementerian Pendidikan dan kerajaan perlu menilai semula dasar kerana UEC jelas perosak sistem pendidikan negara. 

“UEC tidak langsung menghormati Perlembagaan Persekutuan, tidak mengagungkan negara sendiri. Cuba bayangkan pelajar UEC, belajar guna buku ini (buku teks Sejarah UEC), tapi bukan belajar sejarah Malaysia, tapi sejarah China. 

“Di dalam buku itu, yang agungnya Dinasti Ming. Ketamadunan dan kekuatan kerajaan Melayu Melaka dilindungkan.

“Adakah ini buku teks yang hendak kita ajar kepada rakyat Malaysia? Digambarkan juga dalam agama Islam itu perempuan boleh jadi imam kepada lelaki. Ini tak boleh. Ini tak wajar sama sekali,” katanya dalam Pidato Pertiwi bertajuk ‘UEC Barah Perpaduan’ yang disiarkan TV Pertiwi, malam tadi.

Atas dasar itu, beliau hairan apabila dahulu Datuk Seri Najib Razak pernah menawarkan 17 guru UEC untuk mengajar di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) 2011. 

Walhal, sudah terang lagi bersuluh guru-guru ini sudah ‘dididik’ menjadi antikerajaan, antiperpaduan, dan kini mengajar pula di SJKC.

“Inilah yang dikatakan barah perpaduan. Kenapa lantik mereka ini, yang sudah diajar dengan pendidikan antinasional. 

“Kalau guru tak cukup, sepatutnya boleh lantik dari UEC dengan syarat hanya guru sementara, bukan guru tetap. Ini kesilapan besar oleh Menteri Pendidikan,” katanya.

Justeru, beliau mengingatkan segala-gala yang bercorak Malaysia tidak akan dikehendaki oleh Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong).

“Tapi apa kemudahan yang diberi pada sekolah kebangsaan (SK), mereka hendak. Tapi pelajarannya masih berkiblatkan China. Malangnya, kerajaan kita terus ambil guru itu,” katanya.

https://www.facebook.com/TvPertiwi/videos/546611563261216/

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button