Berita Utama

37 ditangkap promosi 500 aplikasi judi dalam talian

Berselindung sebagai syarikat pembangunan aplikasi permainan

KUALA LUMPUR, 16 Safar 1442H, Ahad – Dua puluh enam lelaki dan 11 wanita ditahan oleh polis di Petaling Jaya kerana disyaki mempromosi dan menguruskan 500 aplikasi judi dalam talian.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, suspek berusia antara 21 hingga 43 tahun ditahan dalam satu serbuan sebuah premis perniagaan di Seksyen 13 Petaling Jaya.

Beliau berkata, premis terbabit telah beroperasi selama lebih tiga bulan dan berselindung sebagai sebuah syarikat pembangunan aplikasi permainan.

Syarikat terbabit membayar gaji pekerjanya dari RM2,500 sehingga RM10,000 sebulan bergantung kepada tugas mereka.

“Menerusi siasatan lanjut di premis itu, polis menemukan peralatan dan peranti disyaki digunakan untuk promosi dan penerimaan taruhan. Selain itu, syarikat itu didapati mempromosi, mereka bentuk, membangunkan, mengurus dan menyediakan bantuan teknikal secara dalam talian untuk lebih 500 aplikasi perjudian dalam talian,” kata Nik Ezanee dalam satu kenyataan. 

Beliau berkata, menerusi siasatan awal pula pihaknya membongkar satu rangkaian sindiket yang melibatkan transaksi daripada tujuh akaun bank berlainan di negara dan mempromosi serta menguruskan pertaruhan dalam talian. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button