Berita Utama

Pembinaan tak patuh garis panduan punca tanah runtuh di Kemensah Heights

'Selepas siap bina, ada pula penambahan dan sebagainya' 

KUALA LUMPUR, 12 Safar 1443H, Ahad – Pembinaan struktur tambahan yang melanggar undang-undang dan garis panduan dikenal pasti antara punca menyebabkan insiden tanah runtuh di Jalan Kemensah Heights di sini, Jumaat lepas, kata Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Beliau berkata, perkara itu antara yang dapat dilihatnya menerusi tinjauan ke lokasi kejadian hari ini.

“Setiap pembinaan di lereng bukit atau tempat tinggi sudah ada garis panduannya sendiri di bawah Jabatan Perancang Bandar dan Desa serta pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Saya kira masa pembinaan mereka ikut undang-undang, tetapi selepas siap ada pula penambahan dan sebagainya itu yang kadang-kadang di luar pemantauan pihak berkuasa,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Dalam insiden tanah runtuh itu, tiga rumah banglo dan 12 rumah jenis bandar membabitkan 27 keluarga terjejas, namun tiada sebarang kemalangan jiwa. -Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button