Berita UtamaDunia

Serangan dron Afghanistan: Keluarga tuntut keadilan, gesa AS hukum pelaku

'Maaf saja tidak cukup, saya hilang 10 ahli keluarga'

KABUL, 12 Safar 1443H, Ahad – Permohonan maaf sahaja tidak cukup, demikian tegas ahli keluarga mangsa yang terbunuh dalam serangan dron di ibu negara Afghanistan bulan lalu, yang membunuh 10 orang termasuk tujuh kanak-kanak. 

Sehari selepas insiden, tentera Amerika Syarikat (AS) mengakui bahawa serangan yang dilakukan adalah satu kesilapan, konon pihaknya menyasarkan militan ISIS-K.

Aimal Ahmadi, yang anak perempuannya berusia tiga tahun, Malika terbunuh pada 29 Ogos, ketika peluru berpandu api AS menghentam kereta abangnya, mendesak Washington menyiasat siapa yang menembak dron tersebut dalam serangan Kabul.

“Saya kehilangan 10 anggota keluarga saya,  Saya tuntut keadilan dari AS dan organisasi lain. 

“Kami tidak bersalah, kami tidak melakukan kesalahan,” tegasnya.

AS mengakui ia adalah serangan yang membunuh orang awam – bagaimanapun tidak akan ada kesan atau tindakan terhadap mereka yang membenarkan atau melaksanakannya.

Wartawan al-Jazeera, Osama Bin Javaid yang mengunjungi lokasi serangan, memberitahu kenangan kanak-kanak, termasuk mainan mereka, dapat dilihat berselerak.

“Anggota keluarga memberitahu bahawa mereka mahu menuntut pampasan daripada AS. Mereka mahukan keadilan bagi ahli keluarga mereka dan jika boleh mereka yang tinggal di sini mahu meninggalkan Afghanistan.

“Di sini, di tempat ini, ada kematian, penderitaan dan kenangan. Mereka berusaha untuk membina semula kehidupan mereka dalam keadaan huru hara di Afghanistan dan apa yang terjadi pada keluarga mereka,” katanya.

Bercakap kepada agensi berita The Associated Press, Ahmadi berkata, AS harus menghukum anggota tentera yang bertanggungjawab atas serangan tersebut.

“Tidak cukup sekadar mendapat permohonan maaf. AS perlu mencari orang yang melakukan serangan itu,” kata Ahmadi.

Sebelum serangan itu, tentera AS mengesyaki sebuah kenderaan Toyota putih yang berlegar di kawasan lapangan terbang selama lapan jam dan melihat beberapa individu membawa masuk barangan ke dalam kenderaan itu yang disangka bahan letupan.

Risikan oleh akhbar New York Times mendapati ia sebenarnya adalah air minuman.

Akibat salah selidik, AS menembak peluru berpandunya ke kenderaan dipandu Zemerai Ahmadi, 37, itu ketika ia memasuki jalan rumahnya dan pada waktu itu juga, anak-anaknya sedang berlari untuk menyambut Zemerai.

Zemerai bersama lapan anak dan seorang saudaranya terbunuh akibat serangan itu.

Semalam, Komander tentera AS, Jeneral Kenneth McKenzie mengakui serangan dilancarkan pada bulan lalu itu satu kesilapan.

Kata McKenzie, serangan berkenaan menyasarkan pengganas Daesh selepas pihak perisikan menerima maklumat kumpulan terbabit mahu melancarkan serangan di lapangan terbang Kabul, pada 29 Ogos lalu.

“Serangan itu satu kesilapan yang tragik,” kata McKenzie kepada pemberita selepas siasatan berakhir sambil menambah kerajaan mengkaji pampasan setimpal yang patut dihulurkan kepada keluarga mangsa terbunuh.

Sementara itu, Setiausaha Pertahanan AS, Lloyd Austin turut memohon maaf terhadap keluarga mangsa yang terkorban dalam serangan berkenaan.

Austin turut mengesahkan lelaki Afghanistan yang terkorban dalam serangan itu, Ezmarai Ahmadi, tiada kaitan dengan Daesh sebaliknya adalah petugas kumpulan bantuan AS. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button