Artikel Khas

UEC anai-anai perpaduan kaum

Rakyat hanya mahu dasar pendidikan negara sentiasa dipelihara

UEC atau Sijil Peperiksaan Bersepadu adalah sijil bagi sekolah-sekolah menengah persendirian Cina (SMPC) yang diurus sepenuhnya oleh Dong Zong dan Dong Jiao Zong. Kurikulum sekolah dibangunkan oleh Dong Zong dengan merujuk kepada kurikulum peringkat menengah di serata dunia terutama negara Cina dan Taiwan. Sistem persekolahan juga mengikut sistem di Taiwan dan Cina.

Dong Zong, sejak ditubuhkan pada tahun 1954, sering melakukan bantahan terhadap sistem pendidikan negara, termasuk Penyata Razak 1956, Laporan Abdul Rahman Talib dan Akta Pendidikan 1961, Sekolah Wawasan, dan yang terbaru mengenai pengenalan jawi di SJK.

Laporan Razak 1956 adalah paksi kepada dasar pendidikan yang meletakkan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dan penggunaan satu kurikulum kebangsaan untuk menyatukan semua kaum di Malaysia.

Pengasas Dong Zong, Lim Lian Geok telah dilucutkan kewarganegaraan oleh Kerajaan kerana dia telah membantah keputusan kerajaan berkaitan Laporan Rahman Talib 1960 dan Akta Pelajaran 1961. Dia mengamuk bila Abdul Rahman Talib yang ketika itu bertindak sebagai Menteri Pelajaran berjaya memujuk 53 lembaga pengelola SMPC untuk menjadi SMJKC. Hanya 16 SMPC yang bertegas menolak tawaran kementerian.

Pada tahun 2000 pula, Dong Zong telah menolak konsep sekolah wawasan yang merupakan sejenis sekolah integrasi yang menempatkan SK, SJKC dan SJKT dalam satu kompleks sekolah yang sama.

Penentangan yang konsisten yang ditunjukkan Dong Zong terhadap usaha kerajaan selama ini jelas menampakkan wajah sebenar persatuan ini. Bantahan yang keterlaluan terhadap usaha perpaduan nasional menggambarkan satu sikap yang bertentangan dengan semangat Perlembagaan Persekutuan.

Apakah rupa bentuk kurikulum yang dibangunkan oleh Dong Zong untuk sekolah-sekolah di bawah pengurusannya? Adalah tidak mustahil, benih-benih pemikiran antibahasa Melayu, anti dasar pendidikan negara, anti-Perlembagaan Persekutuan menjadi sebahagian dari ‘worldview’ yang dipupuk kepada pelajar-pelajar mereka.

Jika benar, amatlah rugi peruntukan Kerajaan yang bernilai berjuta-juta ringgit saban tahun dipergunakan untuk meracuni generasi muda dan bakal pemimpin masa hadapan.

Sudah terlalu lama pemimpin-pemimpin negara berlembut dan berkompromi dengan kehendak-kehendak pemimpin ultra kiasu yang saban hari semakin bertambah. Sudah tiba masanya pemimpin-pemimpin yang ada bertegas dan sentiasa mengutamakan dasar-dasar negara dan Perlembagaan Persekutuan dan mencontohi sikap mantan Menteri Pelajaran kita, Abdul Rahman Talib dalam menangani kehendak Dong Zong.

Isu pengiktirafan UEC yang sedang hangat sekarang merupakan ujian pertama bagi Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan barisan kabinetnya. Penentangan yang disuarakan oleh pelbagai pihak wajar dipandang serius.

Rakyat hanya mahukan agar dasar-dasar pendidikan negara sentiasa dipelihara dan peruntukan Perlembagaan Persekutuan dijunjung tinggi.

Datin Asmahan Zaidon
Pengerusi Persatuan Jasa Watan

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button