Berita Utama

Guan Eng desak MCA perjuang isu peruntukan SMPC, kolej swasta Cina

Ketika PH memerintah SMPC terima RM12 juta pada Belanjawan 2019

BANGI, 29 Jamadilakhir 1442H, Khamis – Pemimpin parti tamak haloba DAP, Lim Guan Eng mendesak MCA memperjuangkan isu peruntukan untuk Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) dan tiga kolej swasta Cina yang tiada dalam senarai Belanjawan 2021.

Menempelak sikap berdiam diri MCA, Guan Eng mendakwa bahawa masyarakat Cina kecewa apabila peruntukan untuk SMPC dan tiga kolej swasta – Kolej Universiti Selatan, Kolej Universiti New Era dan Kolej Universiti Han Chiang – tiada dalam senarai belanjawan seperti mana ketika Pakatan Harapan (PH) memerintah.

Katanya, sewaktu PH mengambil alih kerajaan Pusat pada 2018 – di mana Guan Eng ketika itu menjadi Menteri Kewangan – buat pertama kali dalam sejarah, SMPC menerima peruntukan dalam Belanjawan 2019 sebanyak RM12 juta.

Bahkan, Guan Eng berkata, peruntukan untuk sekolah persendirian itu ditambah kepada RM15 juta dalam Belanjawan 2020.

“Apa yang MCA tidak dapat buat dalam 60 tahun pemerintahan, PH dapat buat dalam masa setahun, usaha ini telah mendapat pengiktirafan masyarakat Cina sehingga Wee Ka Siong (Presiden MCA) sendiri berasa gembira.

“Tapi, setelah PN (Perikatan Nasional) mengambil alih tampuk pemerintahan, dengan Belanjawan 2021 yang meningkat sebanyak 8.6 peratus, peruntukan untuk masyarakat Cina bukan sahaja tidak ditambah, bahkan dikurangkan antaranya ialah peruntukan pendidikan Cina sehingga RM73.88 juta bersamaan 42 peratus,” katanya.

Malah, Guan Eng berkata, SMPC juga tidak menerima walaupun satu sen, dan dikeluarkan daripada senarai belanjawan.

“Peruntukan untuk tiga IPTS sebanyak RM6 juta juga telah dibatalkan. Ketika Belanjawan 2021 mula dibentangkan, masyarakat Cina sangat ingin tahu sama ada SMPC akan mendapat manfaat dari belanjawan RM800 juta.

“Ini kerana We Ka Siong yang menyokong kerajaan PN pernah menyatakan, peruntukan SMPC tidak semestinya RM0,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, setelah Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz secara rasmi mengumumkan tiada peruntukan untuk SMPC dan tiga kolej swasta, Ka Siong tidak lagi bersuara atau mengulas perkara itu.

“Bila kami tidak menyuarakana, Wee Ka Siong juga nampaknya tidak bercadang untuk bersuara, dia beranggapan dengan berdiam diri, masyarakat Cina akan melupakan hal ini.

“Padahal, rakyat tidak pernah lupa, mereka hanya tidak faham MCA menjadi menteri tetapi hanya berdiam diri bila ditanya tidak memberi respon,” katanya.

Guan Eng berkata, MCA yang menjadi kerajaan melalui ‘pintu belakang’ belum menunjukkan sebarang pencapaian, tetapi sudah menyekat peruntukan untuk pendidikan Cina.

“MCA patut minta maaf secara terbuka kepada masyarakat Cina kerana telah bersubahat dalam hal ini demi memelihara kedudukan mereka sebagai menteri,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button