Berita Utama

Iktiraf UEC jatuhkan maruah sebagai negara berdaulat

Patriotisme anak bangsa terkikis lahirkan generasi tiada hala tuju

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 13 Safar 1443H, Isnin – Integriti dasar pendidikan negara akan cacat sekiranya Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) diberikan pengiktirafan.

Perkara itu disuarakan tokoh sejarah, Prof Datuk Dr Ramlah Adam yang sedih dengan keadaan semasa di mana walaupun sudah lama merdeka namun masih ada yang tergamak menggadaikan integriti pendidikan negara.

“Saya sangat kecewa dengan golongan yang mahu iktiraf sijil ini, walaupun sudah lama merdeka namun Perlembagaan yang sepatutnya sudah sebati dalam jiwa kita, rupanya masih pudar.

“Ini semua hanya mencacatkan sistem dan integriti pendidikan negara yang kita laksanakan sekian lama, kenapa perlu tukar dan terima sistem lain sedangkan dasar yang dilaksanakan kita langsung tiada cacat cela.

“Patriotisme anak-anak bangsa akan terkikis sekiranya dasar ini kita abaikan dan sekali gus melahirkan generasi baharu yang tiada hala tuju,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Mantan Pengarah Pusat Kajian Institusi Raja Melayu Universiti Malaysia Perlis itu menegaskan, mengaplikasikan sesuatu dari luar ke dalam negara adalah tindakan tidak bertanggungjawab dan bermaruah.

“Apabila sistem kita dicampur dengan sistem pendidikan luar, ia boleh menjatuhkan maruah kita sebagai sebuah negara berdaulat,” katanya.

Prof Ramlah turut mempersoalkan tentang masa depan negara apabila sistem pendidikan yang menjadi asas pembentukan negara diperkotak-katikkan.

“Bagaimana kita mahu lahirkan anak bangsa yang sayangkan negara sekiranya asas utama juga tidak jelas, ini boleh menjadikan negara kita tergadai.

“Saya bercakap bukan atas sebab bangsa atau perkauman tetapi berdasarkan fakta, survival Malaysia sebagai sebuah negara berbilang kaum dan terlalu cintakan tanah air sendiri,” terangnya lagi.

Sehubungan itu, Kementerian Pendidikan digesa untuk tidak memainkan sentimen perpaduan dalam usaha mengiktiraf UEC.

“Kewujudan sekolah persendirian itu secara terang tidak patuh Perlembagaan negara, Dasar Perpaduan Nasional dan Dasar Pendidikan Negara.

“Kementerian Pendidikan perlu celik mata, Jika asas utama tidak boleh dipatuhi, kita tidak perlu gunakan alasan perpaduan untuk mengiktiraf UEC, ini soal masa depan negara yang perlu kita perjuangkan,” ujarnya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button