Berita Utama

MAIWP salur RM937,000 bagi program gerobok rezeki di masjid, surau

Platform bantu golongan miskin bandar, bekal barangan keperluan di 89 masjid dan 123 surau di tiga wilayah

BANGI, 13 Safar 1443H, Isnin – Sebanyak RM937,000 dana zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) disalurkan bagi membiayai Program Gerobok Rezeki MAIWP yang dilaksanakan di masjid dan surau di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

 

Program Gerobok Rezeki itu berfungsi sebagai platform membantu golongan miskin bandar dengan membekalkan barangan keperluan harian kepada masyarakat di 89 masjid dan 123 surau di tiga wilayah berkenaan.

 

Sumbangan melalui program itu juga selari dengan usaha MAIWP dalam menjejaki asnaf yang memerlukan, selain menyalurkan bantuan kepada ahli kariah majid dan surau yang terkesan akibat COVID-19.

 

Antara yang diagihkan secara bulanan di masjid dan surau terlibat ialah barangan makanan kering, kelengkapan mandian, pelitup muka dan barangan sanitasi.

 

Program itu dirasmikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Idris Ahmad di Masjid Jamek Al-Khadijah, Pantai Dalam, hari ini.

 

Turut hadir ialah Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Datuk Mohd Ajib Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP Mohd Nizam Yahya.

 

Program seumpama itu turut dilaksanakan di 100 sekolah di Kuala Lumpur dengan perbelanjaan RM500,000.

 

Pelaksanaan program itu merupakan inisiatif merentasi kaum serta agama, menjadikan semua keluarga murid daripada golongan B40 layak menerima bakul makanan itu, yang dilaksanakan dengan kerjasama pihak sekolah. – Bernama

 

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button