Berita Utama

Pinda RUU355: Dakwaan Malaysia menuju negara Taliban tak berasas

Cadangan pindaan bagi perkasa Mahkamah Syariah bukan laksana hudud

BANGI, 13 Safar 1443H, Isnin – Dakwaan Malaysia menuju sebagai negara Taliban menerusi pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355 disifatkan tidak berasas sama sekali.

Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, tuduhan itu menunjukkan ada pihak masih skeptikal terhadap pelaksanaan undang-undang Syariah di negara ini.

“Cadangan untuk meminda undang-undang itu bertujuan bagi memperkasa Mahkamah Syariah dan bukannya untuk melaksanakan hukuman hudud.

“Jika ada usaha untuk memperkasa Mahkamah Syariah, maka timbul cakap-cakap mengatakan kita menuju negara Taliban, ini pandangan sangat tidak berasas.

“Adakah usaha kita memperkemaskan undang-undang Syariah dengan aspek pendidikan dan kesedaran menunjukkan kita menuju sebagai negara Taliban,” katanya seperti dipetik akhbar tempatan, hari ini.

Sebelum ini, seorang bekas anggota badan pemikir dari Sabah berpendapat, meluluskan pindaan Akta 355 akan menjadi permulaan kepada sebuah negara Islam sekali gus pelaksanaan undang-undang hudud.

Johan Ariffin Samad yang pernah mengetuai Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS) berkata, tidak ada rasional memperkenalkan undang-undang Syariah baharu.

Malah beliau berpandangan perundangan sedia ada telah mencukupi dan jika dilaksanakan, Malaysia akan menjadi satu lagi negara Taliban.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button