Berita Utama

SPRM sahkan 3 pegawai kanannya ditahan salah guna kuasa, seleweng

SPRM tidak akan lindungi pegawai terlibat dalam perbuatan jenayah

KUALA LUMPUR, 13 Safar 1443H, Isnin – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan tiga pegawai kanannya ditahan bagi membantu siasatan terbabit dakwaan salah guna kuasa serta penyelewengan, dalam urusan kes seorang bekas ketua jabatan suruhanjaya itu.

SPRM dalam kenyataan hari ini memaklumkan suruhanjaya ini akan membuat siasatan secara menyeluruh dan berharap semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi berhubung perkara itu, kerana ia akan menjejaskan siasatan.

“Kesemua individu direman di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah selama enam hari bermula 14 September hingga semalam.

“SPRM tidak akan berkompromi atau melindungi mana-mana pegawainya yang terlibat dalam sebarang perbuatan jenayah, serta akan mengambil tindakan sewajarnya sekiranya perbuatan itu benar berlaku,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata pihaknya mengambil maklum mengenai penularan berita berkenaan di media sosial, yang mendakwa tiga pegawai kanan SPRM direman.

“Setakat ini, polis tidak menerima laporan berhubung dakwaan berlaku kecurian barang kes membabitkan wang tunai AS$6 juta (RM25 juta), milik seorang individu yang pernah disiasat,” katanya dalam kenyataan. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button