Berita Utama

Sultan Kedah seru kerajaan negeri ambil perancangan teratur hadapi fasa endemik

SOP perlu disemak semula supaya lebih menyeluruh dan lebih sesuai

ALOR SETAR, 13 Safar 1443H, Isnin – Sultan Kedah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah hari ini menyeru kerajaan negeri mengambil satu perancangan yang teratur dan jelas dalam hal ehwal agama Islam dalam usaha melangkah ke fasa endemik COVID-19 nanti.

Baginda bertitah prosedur operasi standard (SOP) perlu disemak semula supaya lebih menyeluruh dan lebih sesuai dengan situasi endemik sekali gus syiar Islam di negeri ini terus subur dan bersemarak.

“Beta percaya dengan komitmen Menteri Besar (Muhammad Sanusi Md Nor) serta seluruh anggota kerajaan negeri Kedah, hasrat untuk mengatasi pandemik ini pasti akan berjaya diharungi.

“Beta turut menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua petugas barisan hadapan. Mereka ini adalah perwira kita,” titah baginda ketika berkenan merasmikan Mesyuarat Pertama, Penggal Keempat, Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah ke-14 hari ini.

Sultan Sallehuddin juga mengharapkan perancangan pemulihan ekonomi yang kini sedang dirangka kerajaan negeri sebagai persediaan menempuh fasa endemik yang akan dibentangkan dalam Sidang Belanjawan akan datang dapat memberi sinar harapan kepada seluruh rakyat Kedah.

Sementara itu, Sultan Kedah juga mengharapkan kadar vaksinasi di negeri ini dapat dipertingkatkan sekali gus imuniti kelompok berjaya dicapai dengan kadar segera.

“Beta difahamkan kadar vaksinasi di negeri Kedah telah mencapai peratusan melebihi 50 peratus. Walau bagaimanapun, beta menyeru agar prestasi ini dipertingkatkan lagi bagi membolehkan sektor ekonomi dan sosial dapat dibuka secara sepenuhnya lebih awal,” titah baginda.

Sehubungan itu, Sultan Sallehuddin bertitah kerajaan perlu memikirkan langkah sewajarnya dengan kelompok yang kurang capaian Internet untuk mendaftar vaksin dan golongan warga emas yang tiada kemudahan pengangkutan perlu diberikan perhatian.

“Kerajaan juga perlu bijaksana untuk berhadapan dengan individu berfahaman antivaksin yang berisiko menggagalkan usaha untuk mencapai imuniti kelompok. Maklumat tidak tepat dan berita palsu yang dapat memesongkan pemikiran rakyat perlu segera ditangani,” titah baginda.

Dalam pada itu, baginda bertitah kerjasama dan persediaan rapi diperlukan bagi membolehkan program Gelembung Perjalanan atau lebih dikenali sebagai ‘Travel Bubble’ yang dilaksanakan di Pulau Langkawi sebagai destinasi perintis bagi program itu dapat dijayakan.

“Usaha-usaha ini bukan hanya dikhususkan kepada Pulau Langkawi sahaja bahkan perlu diperluaskan ke destinasi pelancongan di Tanah Besar Kedah sebagai persediaan pembukaan secara menyeluruh pada masa hadapan,” titah baginda.

Dalam perkembangan lain, Sultan Kedah bertitah kemelut dan pergolakan politik di peringkat pusat yang berlaku sebelum ini telah pun berjaya diharungi namun perlu menyedari pelantikan kepimpinan baharu melalui proses rundingan tertutup bukan satu penyelesaian mutlak.

“Ini hanyalah langkah kecemasan dalam menghadapi masalah yang lebih besar. Tempoh sehingga sebelum pilihan raya seterusnya adalah satu tempoh yang kritikal dan memerlukan kesepakatan semua pihak khususnya ahli-ahli politik untuk menangani masalah kesihatan dan ekonomi yang melanda,” titah baginda. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button