Berita Utama

Tiada kelulusan diberi penggunaan tanah JHEAINS untuk bina kuil

Sesiapa boleh kemuka permohonan tetapi kelulusan belum tentu lagi

SEREMBAN, 13 Safar 1443H, Isnin – Kerajaan negeri menegaskan tidak pernah memberi kelulusan kepada mana-mana pihak ke atas penggunaan tanah milik Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) di Taman Indah Baru, Tampin yang didakwa bagi pembinaan rumah ibadat bukan Islam.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pihaknya kesal selepas dimaklumkan mengenai bantahan oleh Jawatankuasa Surau Taman Indah kepada wakil rakyat di kawasan itu.

“Perkara ini masih di peringkat cadangan di pejabat daerah. Sesiapa pun boleh mengemukakan permohonan ke pejabat daerah tetapi kelulusan belum tentu lagi, malah belum ada perbincangan mengenai perkara terbabit setakat ini.

“Saya minta perkara ini tidak diperbesarkan, Negeri Sembilan tak ada isu, tapi jangan pula timbulkan isu agama yang boleh memberi kesan kepada perpaduan dan hubungan baik masyarakat berbilang kaum.

“Kita harus menggunakan kebijaksanaan dalam melakukan sesuatu perkara dan bukannya terus melenting tanpa mendapatkan fakta sebenar sehingga boleh rosakkan hubungan baik kerana negara ini ada undang-undang yang perlu kita patuhi,” katanya seperti dipetik akhbar tempatan, hari ini.

Pada 11 September lalu, Ahli Jawatankuasa Surau Taman Indah Baru, Tampin menghantar satu memorandum kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repah, S Veerapan bagi menyuarakan bantahan terhadap cadangan yang dikatakan akan membesarkan pembinaan kuil di tapak berkenaan.

Keadaan itu menjadi tular di media sosial sehingga menimbulkan pelbagai reaksi netizen.

Sementara itu, Pengarah JHEAINS, Datuk Zaidi Ramli berkata, tanah berkenaan yang berkeluasan kira-kira 0.6 hektar sudah diwartakan sebagai tapak Masjid Taman Indah Baru sejak 2011.

Tapak berkenaan sememangnya berhampiran sebuah kuil, namun bukan di dalam kawasan tapak masjid keseluruhannya.

“JHEAINS memang ada cadangan untuk memajukan kawasan itu termasuk membina sebuah masjid tetapi disebabkan sekatan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), perkara itu belum dapat dimulakan.

“Pembinaannya dirancang akan dibuat menggunakan dana wakaf dan sumbangan daripada pihak swasta,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button