Berita Utama

Kempen ‘Asal Bukan Zahid’ signal jelas penolakan Presiden UMNO

‘Jika benar anak jantan, Zahid patut berundur sebelum ditolak dengan cara lebih hina’: Penganalisis

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 12 Jamadilakhir 1444H, Khamis – Kempen ‘Asal Bukan Zahid’ wajar dilihat sebagai signal daripada perwakilan UMNO menolak ketuanya sendiri secara terbuka.

Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Dr Jeniri Amir berkata, dalam situasi mencabar ini Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid perlu akur dan mempertimbangkan untuk berundur.

Beliau berkata, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu sewajarnya tidak bertanding dalam pemilihan kali ini walaupun mendakwa pernah mendapat undian yang selamat.

“Ini merupakan petunjuk bahawa orang dalaman UMNO sendiri menolak dengan hormat kerana mahu pembaharuan dan mencari pemimpin yang lebih bersih dan berwibawa selain merangka parti ke arah yang lebih baik.

“Beliau juga perlu terima kenyataan bahawa kekalahan teruk dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu juga sedikit sebanyak berpunca daripada dirinya sendiri.

“Jadi sebagai anak jantan sebenar dan mempunyai jiwa besar Zahid perlu terima dengan terbuka dan turun dengan lebih bergaya berbanding ditolak dengan cara yang lebih hina, walaupun sebelum ini beliau mengaku mempunyai undi yang lebih banyak berbanding pencabar yang lain.” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kempen ‘Asal Bukan Zahid’ yang disertai kira-kira 100 Ketua UMNO Bahagian di seluruh negara bagi menggantikan presidennya menjelang pemilihan UMNO, minggu depan.

Kempen ‘Asal Bukan Zahid’ bermula apabila beberapa Ketua UMNO Bahagian mengadakan pertemuan dengan Bendahari Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein supaya mengambil tanggungjawab memulihkan UMNO.

Mengulas lanjut, Jeniri berpandangan Ahmad Zahid dilihat ‘kebal’ dalam situasi berkenaan kerana mahu kekal dalam pentadbiran kerajaan campuran hari ini.

Katanya, sekiranya tiada lagi penglibatan Ahmad Zahid dalam UMNO, ia bukan sahaja menjejaskan parti itu sendiri tetapi menyebabkan akan berlaku perubahan besar dalam kerajaan campuran hari ini.

Malah, UMNO perlu memberikan nama baharu bagi menggantikan peranan dalam kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sekiranya Ahmad Zahid kekal bertanding dan kalah dalam pemilihan nanti.

“Kita perlu lihat pemilihan Zahid sebagai Timbalan Perdana Menteri hari ini adalah kerana beliau adalah presiden kepada parti dan sekiranya beliau tiada lagi kuasa perkara ini perlu diganti kepada nama baharu,” jelas beliau.

Bagaimanapun, Jeniri berpandangan, keputusan untuk menolak Ahmad Zahid hanya akan dicapai sekiranya semua perwakilan sehati sejiwa untuk menolak dirinya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button