Berita Utama

Vaksin dos ke-3: Dapat elak tragedi katil hospital penuh berulang

Kurangkan kos rawatan dan tingkat kecekapan hospital tangani COVID-19

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 13 Safar 1443H, Isnin – Pemberian dos ketiga vaksin COVID-19 lihat sebagai usaha kerajaan menjimatkan kos rawatan pesakit terutama di hospital yang sememangnya tinggi.

Ahli Jawatankuasa (AJK) Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik), Dr Ihsanuddin Abbas menjelaskan, pemberian dos ketiga sebagai ‘booster’ perlu supaya tragedi katil hospital penuh dapat dielakkan.

Selain itu, katanya, meningkatkan kecekapan pihak hospital dalam memberikan rawatan terbaik kepada pesakit.

“Kita tidak mahu keadaan sama yang pernah kita lalui sebelum ini berulang lagi, apabila hospital menjadi tumpuan seperti dahulu dengan keadaan pesakit ramai dan kritikal, semua itu memerlukan kos yang tinggi terutama melibatkan wad di Unit Rawatan Rapi (ICU).

“Jadi pemberian ini dilihat dapat mencegah jangkitan selain menjimatkan kos yang tinggi di hospital selain dapat kawal keadaan dengan lebih tenang dan adil,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan sedia melaksanakan pemberian dos ketiga vaksin sebagai usaha meningkatkan perlindungan kepada golongan rentan daripada risiko jangkitan COVID-19.

Mengulas lanjut, Dr Ihsanuddin menegaskan, pemberian dos ketiga dapat mengurangkan risiko memandangkan kajian menunjukkan imuniti penerima suntikan COVID-19 fasa pertama yang melebihi enam bulan sudah tidak berkesan lagi selepas beberapa tempoh tertentu.

“Mereka ini perlu diberi keutamaan memandangan golongan fasa pertama yang terima suntikan terdiri daripada petugas barisan hadapan yang sememangnya terdedah dengan risiko COVID-19,” ujarnya.

Selain itu, beliau turut menegaskan, pemberian suntikan itu dilihat sebagai persediaan negara menuju fasa endemik, bulan depan.

“Saya melihat secara positif dan wajar memandangkan keadaan hari ini masih tidak stabil dengan kewujudan pelbagai varian yang masih banyak.

“Walaupun disediakan dengan peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan namun kita tetap bimbang terutama golongan berisiko,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button