Berita UtamaDunia

Palestin berdepan krisis kewangan teruk dalam enam bulan

Negara haram Israel tangguh pembayaran hasil cukai

RAMALLAH, 10 Rabiulakhir 1443H, Isnin – Palestin bakal berdepan krisis kewangan yang kritikal dalam tempoh enam bulan akan datang.

Penasihat Perdana Menteri, Estephan Salameh berkata, krisis dipercayai berpunca daripada tiada kemasukan bantuan antarabangsa ke negara itu selain penahanan hasil cukai oleh negara haram Israel terhadap Palestin.

“Kerajaan hari ini berdepan krisis yang semakin meruncing.

“Kita memerlukan sokongan kuat untuk menyediakan perkhidmatan asas kepada rakyat Palestin termasuk pembayaran gaji pekerja,” katanya.

Beliau menjangkakan sebanyak AS$600 juta disediakan oleh Kesatuan Eropah (EU) kepada Perbendaharan Palestin, Mac 2022, sambil menjelaskan pihaknya kini sedang berusaha mencari dana dalam mengatasi krisis.

Bank Dunia sebelum ini memberi amaran Palestin bakal berdepan masalah kewangan kritikal penghujung tahun ini.

Jangkaan dapat dielakkan sekiranya masyarakat antarabangsa menyalurkan dana selepas tindakan tidak bertanggungjawab penjajah Israel yang menangguhkan pembayaran hasil cukai.

Perkara itu diumum ketika Bank Dunia membentangkan laporan kepada Jawatankuasa Penyelarasan Bantuan Antarabangsa kepada Rakyat Palestin pada mesyuarat di Oslo minggu lalu.

Pegawai Palestin turut mengadu bantuan kewangan yang diterima oleh perbendaharaan Palestin sehingga akhir 2021 hanya sekitar 10 peratus daripada apa yang diterima sebelumnya.

Malah mereka menjelaskan, tiada lagi bantuan kewangan kepada Palestin dari negara Arab sejak 2020. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button