Berita Utama

Kos haji dijangka meningkat susulan kadar inflasi, peraturan Arab Saudi

Tabung Haji maklum kos haji 2022 apabila dimuktamadkan

BANGI, 14 Safar 1443H, Selasa – Kos menunaikan haji dijangka meningkat disebabkan kadar inflasi serta perkembangan terkini peraturan yang ditetapkan kerajaan Arab Saudi khususnya berkaitan prosedur operasi standard (SOP) susulan situasi COVID-19.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata ia termasuk ujian PCR dan suntikan vaksin untuk memasuki Arab Saudi, penjarakan fizikal di dalam bas, bilik penginapan serta khemah semasa menunaikan ibadah itu.

“Bagaimanapun, Tabung Haji akan memaklumkan kos bagi musim haji 2022 apabila ia dimuktamadkan kelak,” katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Rubiah Wang (GPS-Kota Samarahan) sama ada kos mengerjakan haji dan umrah akan meningkat dalam fasa endemik COVID-19 selain peningkatan kos yang dijangkakan.

Ahmad Marzuk berkata pada masa ini, Lembaga Tabung Haji (TH) sedang menyemak kos haji yang terkesan akibat peraturan dan cukai baharu yang telah diperkenalkan Arab Saudi termasuk caj visa haji mulai 2020 dan kenaikan kadar cukai tambahan di negara berkenaan daripada lima ke 15 peratus yang bermula Julai tahun lepas.

Sementara itu, beliau berkata bagi musim haji 1443H/2022, TH telah memulakan persediaan dengan perancangan utamanya adalah pemilihan bakal haji yang tertakluk kepada kuota rasmi Malaysia serta beberapa kriteria pemilihan lain yang akan diumumkan Arab Saudi.

Ahmad Marzuk berkata keutamaan menunaikan haji pada tahun depan akan diberi kepada mereka yang tahun giliran adalah pada 1441H/2020 dan masih tertangguh.

“Bagi bakal haji yang tahun giliran mereka adalah tahun ini, mereka akan turut diberi peluang pada 2022 tertakluk kepada kekosongan kuota tahun semasa,” katanya.

Antara persiapan TH bagi musim haji 1443H/2022 ialah mengadakan pasca penilaian (post-mortem) urusan ibadat haji tahun ini untuk memahami dengan lebih mendalam SOP dan protokol kesihatan Arab Saudi, menganjurkan Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan bagi menyeragamkan hukum haji dalam suasana wabak, menganjurkan Kursus Asas Haji secara dalam talian dan kerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi urusan pemeriksaan kesihatan dan vaksinasi bakal haji ketetapan Arab Saudi.

TH juga sedang merangka lawatan ke Tanah Suci dalam masa terdekat untuk mengadakan perbincangan lanjut dengan pihak berkuasa Arab Saudi bagi mendapatkan penjelasan terperinci berkaitan peraturan urusan haji dan persiapan musim haji 1443H/2022.

Ahmad Marzuk berkata demikian bagi menjawab soalan asal Rubiah mengenai persediaan kerajaan dalam urusan rakyat menunaikan haji dan umrah setelah hampir dua tahun negara tidak berpeluang menghantar jemaah ekoran COVID-19. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button