Artikel Khas

Respon kepada MB N.Sembilan: Terima kasih, tapi jangan lupa isu tanah rizab kubur umat Islam

Pastikan tiada provokasi sehingga ganggu sensitiviti masyarakat setempat

1. PEMBELA merakamkan penghargaan kepada YAB Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun atas penjelasan mengenai isu tanah tapak masjid di Tampin yang sedang hangat diperbincangkan.

2. Namun, isu yang disentuh oleh YAB Menteri Besar hanya ‘tip of the iceberg’ tentang isu pengambilan tanah-tanah yang telah diperuntukkan kepada umat Islam secara terancang oleh YB-YB ADUN bukan Islam di bawah pentadbiran kerajaan YAB Menteri Besar.

3. Selain dari isu tanah di Tampin tersebut, terdapat beberapa isu lagi yang menunjukkan memang terdapat satu bentuk pergerakan terancang oleh beberapa orang ADUN bukan Islam untuk mengambil alih tanah yang telah diperuntukkan kepada umat Islam untuk kegunaan bukan Islam.

4. Salah satu dari isu yang sedang hangat dibangkitkan oleh media ialah perancangan untuk mengambil sebahagian dari 25 ekar tanah yang telah diperuntukkan sebagai kawasan kubur umat Islam di Lenggeng, untuk diberikan kepada penganut Hindu di kawasan tersebut. Perkara ini turut dibantah oleh penganut-penganut Islam yang merupakan 95% majoriti di kawasan itu.

5. Malah kami juga mendapati laporan daripada penduduk Islam, tanah dan bajet kewangan yang telah diperuntukkan oleh pemaju untuk membina surau di Taman Melati 1 & 2 Nilai, telah dibantah oleh ADUN bukan Islam tersebut sehingga pembinaan surau tersebut digagalkan.

6. Kami merakamkan kekecewaan di atas kegagalan ADUN-ADUN Islam yang bertanggungjawab di kawasan masing-masing yang terlibat, seperti ADUN Lenggeng, yang tidak langsung cakna dengan apa yang sedang berlaku di kawasan beliau.

7. Kami ingin mengingatkan kepada semua pihak bahawa Tindakan ADUN-ADUN PH terutamanya dari DAP ini yang menyasarkan tanah-tanah milik umat Islam ini, boleh dianggap sebagai satu tindakan yang boleh mengundang keadaan tidak tenteram di dalam hubungan antara kaum dan agama di Malaysia.

8. Amaran sudah sepatutnya dibuat oleh YAB Menteri Besar kepada ADUN-ADUN di bawah penjagaannya supaya tidak terus melakukan tindakan-tindakan provokasi yang mengganggu sensitiviti masyarakat setempat.

9. Kami mendesak YAB Menteri Besar supaya bertegas menolak tanpa kompromi, bukan menunggu perbincangan dan perundingan.

10. Rakyat terutamanya seluruh warga Negeri Sembilan mahukan tindakan dan pendirian yang tegas mengenai mana-mana tanah rizab milik umat Islam.

11. PEMBELA ingin memberi amaran serta peringatan kepada ahli-ahli politik khususnya wakil-wakil rakyat kerajaan berstatus EXCO agar tidak bertindak sesuka hati dalam hal-hal tanah dan agama Islam yang membelakangkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang merupakan Ketua Agama Negeri.

12. PEMBELA turut mengucapkan terima kasih dan syabas kepada wakil-wakil dan ketua-ketua penduduk setempat yang memberikan komitmen jitu dan proaktif dalam agenda membela agama, bangsa dan tanah air dalam konteks isu ini.

Sekian, terima kasih.

Aminuddin Yahaya
Pengerusi PEMBELA
21 September 2021

Rujukan: https://www.sinarharian.com.my/article/160234/EDISI/Penduduk-bantah-pengambilan-tanah-kubur-orang-Islam

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button