Berita Utama

KKM harap RUU Kawalan Produk Merokok dibentang awal Jun

Pengguna vape di kalangan remaja meningkat 14.9 peratus pada 2022

MELAKA, 11 Zulkaedah 1444H, Rabu – Kementerian Kesihatan (KKM) berharap Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 yang akan mengawal selia semua produk merokok termasuk bahan merokok mengandungi nikotin yang digunakan untuk tujuan merokok, dibentangkan pada persidangan Parlimen awal Jun ini.

Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni berkata, RUU berkenaan sangat penting bagi melindungi kesihatan generasi muda dan ia merangkumi dua perkara utama iaitu kawalan terhadap produk merokok termasuk rokok elektronik atau vape serta pelaksanaan peruntukan Generasi Penamat Rokok.

“RUU berkenaan sebelum ini tidak sempat dibentangkan dalam sidang Parlimen sebelum ini kerana berlaku pembubaran kerajaan sebelum ini namun KKM akan memastikan komitmen untuk membawa RUU Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 bagi bacaan kali pertama akan dibentangkan dalam persidangan Parlimen yang akan diadakan selepas cuti Hari Kaamatan dan Hari Gawai.

“Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa juga telah membawa kertas RUU berkenaan ke Kabinet pada minggu lepas dan saya dimaklumkan Kabinet telah bersetuju untuk KKM membawa RUU berkenaan untuk bacaan kali pertama,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Tembakau Sedunia 2023 Peringkat Kebangsaan yang turut dihadiri Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Ngwe Hee Sem dan Pengarah Kesihatan Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Rusdi Abd Rahman.

Mengulas lanjut, Lukanisman berkata, pelaksanaan RUU berkenaan perlu disegerakan kerana berdasarkan Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS), pengguna rokok elektrik dalam kalangan remaja di negara ini mencatatkan peningkatan sebanyak 14.9 peratus kepada 307,109 orang pada tahun lepas berbanding 9.8 peratus atau 211,084 orang pada 2017.

Beliau berkata, berdasarkan jumlah statistik pada tahun lepas, sebanyak 242,849 pengguna terdiri dalam kalangan remaja lelaki manakala 64,260 orang adalah remaja perempuan.

“Peningkatan jumlah pengguna rokok elektronik dalam kalangan remaja amat membimbangkan, justeru bagi mengatasi isu dan masalah penggunaan produk merokok terutama dalam kalangan kanak-kanak dan remaja, kawalan undang-undang perlu diperkukuh melalui RUU berkenaan.

 “Ini kerana remaja dan kanak-kanak pada masa kini sangat terdedah dengan lambakan dan tarikan pelbagai jenis produk merokok dan menerusi RUU berkenaan ia diharap dapat mencegah generasi muda daripada memulakan tabiat merokok,” katanya.- Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button