Berita Utama

Vaksinasi ‘walk-in’ untuk remaja seluruh negara mulai Khamis

Jadual vaksin akan diberikan kepada pelajar dan ibu bapa

PUTRAJAYA, 14 Safar 1443H, Selasa – Vaksinasi COVID-19 secara walk-in untuk remaja akan bermula pada hari Khamis (23 September) di 156 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) terpilih di seluruh negara.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali memberitahu, kaedah walk-in akan dilakukan mengikut jadual yang dikeluarkan oleh pihak sekolah.

“Jawatankuasa Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 Remaja (CITF-A) telah mengenal pasti 156 PPV awam dan integrasi di seluruh negara bagi tempoh peralihan ini bertujuan meningkatkan kapasiti pemberian vaksinasi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Remaja secara ‘walk-in’.

“Proses walk-in untuk remaja akan dilaksanakan berdasarkan lokasi sekolah yang terletak paling dekat dengan PPV yang telah dikenal pasti untuk program ini.  

“Ia akan dijalankan mengikut jadual yang ditetapkan oleh sekolah dan dikeluarkan kepada pelajar dan ibu bapa yang terlibat,” katanya. 

Beliau memberitahu, pemberian vaksin itu melibatkan semua kategori remaja termasuk yang tidak bersekolah.

“Bagi remaja yang tidak bersekolah, mereka dibenarkan untuk ‘walk-in’ di mana-mana 156 PPV berdekatan dengan kediaman,” katanya.

Namun, jika kuota vaksin di PPV habis untuk hari itu, mereka akan diberi janji temu di tempat yang sama pada hari berikutnya atau di klinik kesihatan swasta yang berdekatan, kata Dr Noor Azmi, yang merupakan Pengerusi CITF-A.

Sementara itu, bagi remaja yang telah mendapat tarikh vaksinasi di PPV sekolah, beliau berkata, kumpulan pelajar ini perlu mengekalkan janji temu sedia ada dan tidak dibenarkan ‘walk-in’ ke PPV awam atau integrasi.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button