Berita UtamaDunia

Melbourne perketat kawalan keselamatan

Protes masuki hari ketiga bantah sekatan pergerakan

SYDNEY, 15 Safar 1443H, Rabu – Polis meronda di pusat bandar raya kedua terbesar di Australia, Melbourne bagi menghalang protes perlaksanaan sekatan pergerakan yang memasuki hari ketiga.

Lebih daripada 60 penunjuk perasaan ditahan Selasa lalu, selepas lebih daripada 2,000 antara mereka merosakkan harta benda, menyekat jalan raya yang sibuk dan mencederakan tiga anggota polis, susulan penutupan tapak pembinaan selama dua minggu bagi mengehadkan penularan penyakit.

Sekumpulan penunjuk perasaan berkeliaran di jalanan dan berkumpul di mercu tanda bandar hari ini walaupun ada gesaan untuk berada di rumah.

Bagaimanapun kebanyakan mereka mengelakkan diri daripada pertembungan dengan pihak polis, sementara Ketua Polis Negara, Shane Patton berikrar untuk mencegah lebih banyak keganasan.

Tunjuk perasaan itu berlaku susulan keputusan pihak berkuasa untuk mewajibkan vaksin bagi pekerja binaan dan menguatkuasakan penutupan tapak bangunan mulai Selasa, dengan alasan tidak mematuhi peraturan kesihatan.

Bagaimanapun, pihak berkuasa dan pegawai kesatuan mengatakan kumpulan ekstremis dan kanan turut menyertai tunjuk perasaan itu.

Beberapa penunjuk perasaan menolak untuk bercakap dengan wartawan di tempat kejadian dan melaungkan ‘Berita palsu’ ketika didekati, kata media tempatan.

Mereka yang lain memegang sepanduk dengan slogan, ‘Akhiri sekatan pergerakan sekarang!’ – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button