Berita Utama

Bukan hanya Cina, etnik lain juga perlu bincang isu pendidikan, kata Mah Hang Soon

Boleh kuasai bahasa Cina satu persediaan hadapi kebangkitan negara China

KUALA LUMPUR, 15 Safar 1443H, Rabu – Timbalan Menteri Pendidikan II, Senator Datuk Dr Mah Hang Soon menggesa pemimpin-pemimpin daripada kumpulan etnik selain Cina di negara ini untuk bersama-sama membincangkan isu pendidikan.

Malah, beliau menyentuh sikap dedikasi masyarakat Cina terhadap pendidikan kaum itu dan menyifatkannya sebagai sesuatu yang baik untuk dicontohi.

“Ini kerana dengan kebolehan menguasai bahasa lain seperti bahasa Cina, adalah satu kelebihan besar dalam kita menghadapi kebangkitan negara China dan budaya Cina yang semakin besar pengaruhnya.

“Namun demikian, sebagai rakyat Malaysia, saya juga mahu memajukan negara bersama masyarakat daripada kumpulan etnik yang lain.

“… dengan harapan anak-anak cemerlang dalam pelajaran, bidang kemahiran dan pengetahuan, agar mereka dapat melakar kejayaan di Malaysia dan di seluruh dunia,” katanya dalam temu bual siaran podcast bersama Feng Ren Guan, yang disiarkan semalam.

Hang Soon berkata, pemimpin daripada mana-mana kumpulan etnik harus berupaya atau bersedia untuk bekerjasama dengan masyarakat etnik lain bagi membincangkan serta menangani semua isu pendidikan bersama-sama.

Katanya, perkara itu tidak bercanggah kerana menguasai bahasa asing tidak mendatangkan kemudaratan bahkan memberi manfaat kepada rakyat.

“Kita patut melihatnya dengan perspektif yang luas, gunakan pendekatan positif untuk menggalakkan anak-anak bersaing dengan cara yang sihat,” katanya.

Sementara itu, bercakap mengenai isu Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), Hang Soon berkata, sejak tahun 2010 lagi, MCA telah secara aktif cuba menangani isu pengiktirafan sijil tersebut, namun ia terganggu apabila berlakunya perubahan dalam kerajaan.

“Banyak yang telah kami usahakan, bertahun-tahun kami membuat persediaan…sayang ianya hanya tinggal dalam kenangan sejarah, tetapi secara peribadi saya gembira jika ia terlaksana,” katanya.

Terdahulu, Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon ketika menyandang jawatan Timbalan Menteri Pendidikan II pernah berkata: ‘Jalan mengiktiraf UEC hanya tinggal satu batu sahaja lagi’.

Beliau mendedahkan, kemungkinan paling tinggi untuk UEC diiktiraf adalah semasa kepimpinan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Bagaimanapun, dakwaan Sin Woon pada 2016 bahawa usaha kerajaan ke arah pengiktirafan UEC tinggal satu batu sahaja lagi, dibantah oleh Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pengajian Tinggi.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button