Berita UtamaIstimewa

Kami masih tuntut keadilan untuk Allahyarham Adib!

Jangan 'tunggang' isu kematian anggota bomba hanya ketika jadi pembangkang

BANGI, 15 Safar 1443H, Rabu – Rakyat benar-benar kesal dan kecewa selepas Dewan Rakyat menolak usul untuk membahaskan kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim.

Isnin lalu, Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun yang membuat keputusan itu berkata, usul yang dibawa Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer dengan alasan Peraturan 18 (1) tidak boleh digunakan dalam usul berkenaan.

“Usul itu terpaksa saya tolak pertamanya kerana ianya tidak menyatakan kenapa ia perlu disegerakan.

“Kedua usul itu adalah dibawah Peraturan 18 (1), iaitu untuk merundingkan sesuatu perkara tetapi malangnya usul Jelutong adalah untuk menggesa Kabinet untuk menyuruh menteri menjawab satu soalan.

“Jadi kalau kita hendak membuat sesuatu gesaan itu terpaksa Dewan Rakyat membuat satu ketetapan maka Peraturan 18 (1) tidak boleh digunakan untuk membuat ketetapan kerana peraturan itu cuma untuk merundingkan perkara tersebut,” katanya menjawab pertanyaan Rayer di Dewan Rakyat.

Walau apapun, Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Haji Aminuddin Yahaya menegaskan, keadilan buat Allahyarham Muhammad Adib mesti ditegakkan.

Beliau mengingatkan mana-mana pihak sekalipun untuk tidak sesekali ‘menunggang’ isu kematian anggota bomba itu.

“Bukan hanya menunggang ketika jadi pembangkang; PN, mahupun PH.

“Keputusan Mahkamah Koroner juga jelas. Tunggu apa lagi?” soalnya menerusi hantaran dimuat naik di akaun Twitter beliau.

Ogos tahun lalu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin ketika menjawab di Parlimen memaklumkan, kertas siasatan kes kematian Muhammad Adib dirujuk semula ke Jabatan Peguam Negara pada 23 Julai 2020, dengan disusuli beberapa cadangan.

Rujukan semula kes itu antara lain mencadangkan supaya 12 suspek yang sebelum ini disyaki terbabit dalam kematian Adib pada 17 Disember 2018 itu, dituduh mengikut Seksyen 143 Kanun Keseksaan (KK).

Katanya, cadangan lain yang turut dikemukakan ialah membuka semula inkues untuk siasatan sekiranya mendapat persetujuan Peguam Negara.

Dilaporkan, empat lelaki yang dipercayai terbabit dalam insiden kematian Muhammad Adib – yang parah dipukul dalam rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya -dibebaskan daripada tahanan reman, tiga tahun lalu.

Majistret Nurshahirah Abd Salim membenarkan dua suspek dibebaskan dengan bon mahkamah sebanyak RM2,000 manakala dua lagi dibebaskan dengan jaminan polis.

Kesemua mereka yang berusia antara 21 hingga 24 tahun sebelum ini telah direman empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

Muhammad Adib menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember 2018 di Institut Jantung Negara (IJN) selepas 21 hari bertarung nyawa.

Pada 27 September 2019, Mahkamah Koroner Shah Alam memutuskan kematian Allahyarham Muhammad Adib, adalah akibat perbuatan jenayah yang dilakukan lebih dua atau tiga individu tidak diketahui.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button