Berita Utama

Kerajaan masih ada masa tarik diri dari CPTPP

Teruskan rundingan, aktif dengan RCEP lebih bermakna

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 15 Safar 1443H, Rabu – Malaysia wajar menilai semula keputusan meratifikasi Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) dalam masa terdekat.

Pakar ekonomi, Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai berkata, kerajaan seharusnya ‘explore’ selanjutnya perjanjian itu pada masa sama ‘mencucuk jarum’ untuk berunding bagi mengeluarkan fasal-fasal yang tidak dipersetujui sebelum membuat keputusan.

Beliau berpendapat, negara masih boleh mendapat pengecualian untuk beberapa waktu bagi membolehkan peniaga bersedia menerima CPTPP.

“Saya rasa Malaysia patut meneruskan ‘negotiation’ dengan CPTPP dan pada masa sama lebih aktif dengan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP). Ini kerana potensi dengan RCEP adalah lebih bermakna.

“Namun RCEP pun mempunyai masalah susulan India telah menarik dari terlibat. Jika India duduk (menganggotai) dalam RCEP kita akan menjadi satu kumpulan negara yang akan menguasai 60 peratus ekonomi dunia.

“Bahkan kita akan lihat ekonomi dunia akan berpindah ke timur dan inilah masa yang kita harap-harapkan akan berlaku kerana selama ini beratus tahun ekonomi kita dikuasai oleh barat,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kebimbangan disuarakan Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) berhubung hasrat Malaysia untuk meratifikasi CPTPP.

Terdahulu, Pengerusi MTEM, Abdul Halim Husin mendakwa, perjanjian ini lebih mementingkan mereka yang terlibat dalam industri eksport tanpa menghiraukan kesan pada ekonomi tempatan khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang terlibat dengan sektor perkhidmatan dan selain daripada eksport.

Dakwanya, lambakan import barangan yang lebih murah akan menjahanamkan peluang PMKS untuk bangkit dan menjadikan negara sebagai negara pengguna semata-mata.

Abdul Halim turut mendakwa, perjanjian perdagangan yang kononnya bebas tapi tidak adil ini akan memberi kesan pada pengeluar, PMKS, petani, pesakit dan pengguna.

Mengulas lanjut, Barjoyai Bardai berpandangan bahawa Malaysia masih boleh menarik diri di saat-saat akhir seperti apa yang dilakukan oleh India di dalam RCEP.

“India pun misalnya tidak mengatakan terus menarik diri daripada RCEP. Negara itu katanya masa kini belum lagi buat keputusan dan itu juga boleh menjadi strategi kita,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button