Berita Utama

Langkawi kini raih 90 peratus pembangunan ekonomi

Setakat hari ini belum cetus kluster pelancongan meski ada kenaikan kes komuniti

BANGI, 15 Safar 1443H, Rabu – Kira-kira 90 peratus pembangunan ekonomi pelancongan di Langkawi kini berjaya diraih selepas menerima kemasukan pelancong sejak 16 September lalu.

Jika sebelum ini, komuniti Langkawi termasuk pemain industri pelancongan mengalami kerugian lebih kurang RM1.75 bilion selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Namun, apabila kerajaan melaksanakan projek rintis Gelembung Pelancongan, ia memberi satu sinar harapan dan melegakan semua industri pelancongan Langkawi, kata Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Pelancongan Langkawi (LTA), Zainuddin Kadir.

“Saya mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada pihak kerajaan dan semua agensi yang telah bergembleng tenaga untuk menjadikan Langkawi sebagai agenda negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel Agenda Pertiwi bertajuk Langkawi bakal jadi Red Zone? yang disiarkan secara langsung di Facebook TV Pertiwi malam ini.

Lebih menggembirakan, Zainuddin berkata, sehingga ke hari ini, tidak ada kes kluster pelancongan selepas Pulau Langkawi menjadi projek rintis Gelembung Pelancongan di negara ini.

Bagaimanapun katanya, terdapat sedikit kenaikan kes COVID-19 daripada komuniti itu sendiri.

Justeru, pihaknya sedang cuba mengubah ‘mindset’ penduduk Langkawi supaya menjalani kuarantin – sekiranya disahkan positif – dan mempromosi secara giat perkara ini supaya jangkitan pada komuniti itu hanya berada pada kategori satu, dua dan tiga sahaja.

“Inilah hasrat kita, memberi keadaan yang sebenar kepada komuniti bahawa kuarantin itu sangat mustahak supaya kita tidak menyebarkan penyakit,” katanya.

Pautan Agenda Pertiwi;

https://www.facebook.com/TvPertiwi/videos/445668560139985/

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button