Berita Utama

PEMBELA, rakyat gerak usaha bongkar kes ceroboh tanah kerajaan

Umat perlu bersatu pertahan kepentingan Melayu dan Islam

BANGI, 15 Safar 1443H, Rabu – Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) akan melaksanakan satu gerakan bersama rakyat bagi membongkar kes pencerobohan ke atas mana-mana tanah kerajaan terutamanya milik jabatan Islam di seluruh negara.

Ini rentetan daripada isu dikemukakan penduduk di Bandar Tasek Senangin di Lenggeng, Seremban yang membantah sebarang usaha mengambil alih tanah seluas 10.5 hektar di situ yang telah diwartakan sebagai tanah perkuburan orang Islam.

Difahamkan sebanyak 0.8 hektar tanah berkenaan mahu diambil untuk dijadikan sebagai tapak perkuburan bukan Islam.

Sebelum ini juga, satu memorandum dihantar oleh Ahli Jawatankuasa Surau Taman Indah Baru Tampin kepada wakil rakyat Repah yang menyuarakan bantahan terhadap cadangan dikatakan akan membesarkan pembinaan kuil di tapak pada awalnya dicadangkan untuk membina masjid.

Bagaimanapun kerajaan negeri memaklumkan tidak pernah meluluskan penggunaan tanah milik Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) di kawasan berkenaan, kononnya bagi pembinaan rumah ibadat bukan Islam seperti didakwa dalam media sosial.

Ekoran itu, Ketua Komunikasi dan Multimedia PEMBELA, Haji Rashidi Haris berkata, dua isu ini menyebabkan pelbagai persoalan timbul khususnya dari penduduk sekitar yang berdepan dengan perkara berkenaan.

Katanya, bagi umat Islam seluruh negara insiden ini membuka mata banyak pihak terutama yang ada kaitan dengan jabatan dan majlis agama kerana terlibat dengannya.

“Antara persoalannya apakah ada berlaku rasuah di kalangan kakitangan berlatar belakang agama?

“Dan keduanya, seolah-olah menggambarkan ada perancangan sulit dan halus oleh pihak tertentu yang merancang mahu mengubah beberapa status tanah milik umat Islam kepada bukan Islam,” dakwanya dalam kenyataan hari ini.

Pada masa sama, beliau yang juga Ketua Aktivis Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT) mengajak umat Islam mempertahankan sesuatu yang melibatkan kepentingan Melayu dan Islam.

“Islam tidak akan cemerlang melainkan umatnya bersatu mempertahankannya,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button